KUALA LUMPUR, 3 Jun 2023– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Kebudayaan sekali lagi mengangkat produk seni budaya sebagai ejen mendidik masyarakat dengan menerbitkan tiga buah produk iaitu buku bertajuk ‘Foto Jurnal: Kolo Pilah Di Sini Hati Den Terpaut’, buku kit Mahir Khat dan Jawi dan album ‘USIM Taranum 5 Juara.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti YB Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung ketika ini.

Penghasilan produk ini merupakan hasil kerja kreatif mahasiswa, alumni dan warga USIM yang bertujuan untuk mengangkat seni budaya Islam dan meluaskan capaian jaringan produk seni yang memenuhi kepatuhan syariah untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata “penghasilan produk Seni Berbudaya merupakan sumbangan USIM kepada masyarakat untuk memperlihatkan bahawa seni budaya Islam mampu diterjemahkan melalui hasil karya yang memberi manfaat kepada masyarakat. Ini juga bertepatan dengan saranan bagi mengukuhkan keterlihatan USIM di mata masyarakat di luar sana”.

“Pada tahun ini, Pusat Kebudayaan USIM sekali lagi menjalinkan usahasama penerbitan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerusi penerbitan buku ‘Foto Jurnal: Kolo Pilah Di Sini Hati Den Terpaut’”, ujarnya lagi.

Secara ringkasnya, Buku ‘Foto Jurnal: Kolo Pilah di Sini Hati Den Terpaut’ merakamkan keindahan dan kekayaan khazanah Kuala Pilah melalui koleksi foto sebagai fokus utama yang dijalinkan dengan naratif teks yang menyentuh emosi. Mengandungi 16 tajuk dan menerusi karya ini, pembaca dapat menyoroti spektrum unik seni budaya dan warisan tradisional, makanan tradisi, rekreasi dan alam sekitar, serta tokoh anak negeri yang menjadi lambang keunikan Kuala Pilah. Daerah saujana hijau yang terletak di tengah-tengah Negeri Sembilan ini masih berpegang teguh pada adat warisan sejak zaman-berzaman. Elemen estetik inilah yang menjadikan Kuala Pilah terkenal sebagai pusat pelancongan kebudayaan dan seni warisan Adat Perpatih. Karya hasil kerjasama strategik ini diharapkan dapat memperkenalkan keistimewaan Kuala Pilah yang mencitrakan kekayaan budaya negara Malaysia.

Manakala album USIM Taranum 5 Juara menampilkan qari USIM dari kalangan pelajar, alumni dan pensyarah USIM yang telah menempa nama di pentas tilawah al-Quran hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Bacaan al-Quran dalam album ini adalah alunan suara Dr. Anuar Hasin, Mohamad Husaini Mahmur, Muhammad Umar Syazuli, Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin dan Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan. Penerbitan album USIM Taranum 5 Juara ini bertujuan menjaga kelestarian seni taranum ke peringkat yang tinggi ke dalam bentuk dokumentasi tersusun untuk rujukan masyarakat dan generasi masa depan. Album ini juga diharap mendidik masyarakat dan istiqamah menunaikan kewajiban sebagai insan berlandaskan al-Quran sebagai panduan hidup sejagat. Album ini memuatkan 11 bacaan al-Quran yang dicetak menggunakan pemacu pena yang lebih mesra pengguna untuk memudahkan pendengar mendengar dengan menggunakan sebarang peranti.

Sementara itu, buku Kit Mahir Khat dan Jawi pula merupakan sebuah buku hasil kretiviti dan kerja-kerja kreatif mahasiswa, alumni dan staf Pusat Kebudayaan USIM. Buku ini dihasilkan dalam dua siri iaitu siri pertama berkaitan Permainan Tradisional mengandungi lapan tajuk seperti permainan congkak, gasing, galah panjang dan beberapa lagi. Manakala siri kedua berkaitan Persembahan Seni Budaya juga mengandungi lapan tajuk seperti persembahan dikir barat, zapin pekajang, rebana ubi dan lain-lain lagi.

Lebih menarik, kedua-dua siri buku ini mamaparkan visual bergambar, latihan huruf tunggal dan huruf bersambung tulisan jawi untuk ditulis semula oleh kanak-kanak. Bersesuaian dengan kumpulan sasaran kanak-kanak berumur 6 hingga 9 tahun, buku ini menampilkan keunikan inovasinya dengan disertakan kod QR untuk diimbas oleh pengguna bagi melihat video demonstrasi penulisan khat nasakh untuk diikuti oleh kanak-kanak. Istimewanya produk ini hasil lukisan pelajar dan penulisan khat oleh alumni USIM. Kit Mahir Khat dan Jawi didatangkan bersama sebuah pensel khat dan pensel warna bertujuan menjaga kelestarian teknik seni khat dan jawi yang harus dikongsi bersama masyarakat. Melalui latihan penulisan ini diharapkan mampu membimbing masyarakat khususnya kanak-kanak untuk memperbaiki serta meningkatkan minat dan pengetahuan untuk menghayati tulisan jawi yang diindahkan dalam bentuk seni khat.

Turut hadir sama dalam majlis pelancaran buku ini adalah pengurusan universiti, Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah, penulis buku, jemaah kreatif yang terlibat dalam penerbitan produk , wakil masyarakat Kuala Pilah dan pelajar USIM.

sumber: Pusat Kebudayaan

Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan