NILAI, 12 Mei 2020 – Misi Ops Hantar Pulang yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selesaipada malam tadi dengan penghantaran kumpulan terakhir pelajar secara serentak ke dua destinasi iaitu iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Johor dari dari Dewan Tuanku Canselor USIM.

Seramai 16 pelajar di hantar ke beberapa destinasi di Johor malam tadi menggunakan dua buah bas manakala sebanyak enam buah bas lagi  digunakan bagi membawa 94 pelajar ke KLIA untuk pulang ke Sabah.

Semenjak Ops Hantar Pulang di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bermula pada 27 April lalu, USIM telah menguruskan sebanyak 19 Ops Hantar Pulang yang melibatkan 981 orang pelajarnya yang berada di kolej kediaman dan penginapan luar pulang ke pangkuan ahli keluarga masing-masing.

Pecahan pelajar mengikuti zon negeri yang tertinggi dihantar pulang adalah ke Zon Pantai Timur (Pahang, Kelantan, Terengganu) seramai 397 pelajar; diikuti ke Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulang Pinang) seramai 139 pelajar; Zon Tengah 2 (Perak) seramai 104 pelajar; dan Sabah seramai 101 pelajar.

Bakinya seramai 90 pelajar dihantar ke Zon Selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan); 89 pelajar ke Zon Tengah 1 (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya); dan 61 pelajar ke Sarawak.

Dengan kedua-dua kampus USIM di Nilai, Negeri Sembilan dan Pandan Indah, Selangor menjadi antara Pusat Pelepasan (Departure Center) Ops Hantar Pulang KPT, USIM turut memberi bantuan menguruskan penghantaran pulang seramai 298  pelajar Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berdekatan dengan kedua-dua kampus ini ke pangkuan keluarga mereka.

Kegembiraan dapat menguruskan penghantaran pelajar ini sehingga selesai turut dikongsi oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, Muhammad Danial Akmal Hamdan. “Seperti tidak sangka akhirnya selesai juga tanggungjawab kami membantu menguruskan rakan-rakan pulang ke kampung. Cepat masa berlalu, diakui penat memang penat kerana perlu menguruskan pelbagai keperluan untuk Ops Hantar Pulang tanpa ada rehat yang panjang tetapi semua penat dan lelah itu hilang kerana gembira dapat berkhidmat untuk pelajar dan universiti”.

“Kini tiba giliran kami MPP seramai 10 orang yang kekal di kampus sejak PKP dilaksanakan untuk mengemas pakaian dan barangan untuk di bawa pulang ke kampung halaman masing-masing pada 14 Mei ini. Kami pulang sedikit lewat kerana ingin menyelesaikan beberapa tugasan yang masih ada disamping ingin menikmati saat-saat bermakna di kampus sebagai kenangan”.

“Terima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Perumahan Pelajar dan semua pihak yang memberi kepercayaan kepada kami  (MPP) untuk bersama-sama dalam barisan hadapan operasi ini”. Ujarnya.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan