PORT DICKSON, 28 Februari 2022 – Bagi memenuhi keperluan sistem penjagaan kesihatan negara dengan melahirkan lebih ramai pakar perubatan dan kesihatan , Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) jalin kerjasama untuk menubuhkan hospital pengajar melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama University College Sedaya International (UCSI).

Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, kerjasama perkongsian kepakaran yang melibatkan 78 orang pakar perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM serta kepakaran dari UCSI dan hospital UCSI khususnya dalam penjagaan kesihatan serta operasi harian hospital pengajar serta khidmat kepakaran ini akan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

“Sebagai usaha ke arah merealisasikan Misi USIM 2022 iaitu untuk menjadi sebuah Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi pada tahun 2022, USIM kini berusaha menggerakkan dan mengaktifkan kerjasama dengan banyak agensi dan institusi, terutama untuk tujuan latihan, penyelidikan, dan perkongsian kepakaran. Kami yakin bahawa agenda untuk meningkatkan ummah memerlukan usaha yang bersepadu dari pelbagai pihak”.

Ujarnya lagi, kerjasama ini bukanlah hanya kepada khidmat kepakaran perubatan namun kedua-dua universiti juga akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan serta inovasi.

Cadangan kerjasama USIM dan UCSI ini dikira unik kerana ini adalah kerjasama UA-IPTS yang pertama
di Malaysia yang memberikan manfaat kepada masyarakat di Port Dickson khususnya dan Negeri Sembilan amnya.

USIM diwakili oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin serta barisan pengurusan tertinggi universiti, manakala UCSI diwakili oleh Dato’ Peter Ng, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan UCSI dan Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UCSI dan Naib Canselor Universiti UCSI

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan