NILAI, 1 Mei 2020– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menguruskan penghantaran pulang 115 pelajar ke 12 destinasi yang berada dalam negeri Zon Selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada malam tadi. Para pelajar tersebut terdiri daripada 51 pelajar orang pelajar USIM dan bakinya iaitu 64 pelajar merupakan penuntut dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT)  sekitar Nilai dan Seremban.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, ini juga merupakan penghantaran kumpulan kedua pelajar USIM pulang ke kampung halaman selepas 11 orang pelajarnya yang berada di Kampus USIM Pandan Indah telah dihantar pulang ke Kedah dan Pulang Pinang pada Isnin malam baru-baru ini.

Ujarnya lagi, pelajar IPT lain yang turut bersama dalam penghantaran kumpulan kedua pelajar USIM ini antaranya dari Nilai University, INTI International University, East West International College, Kolej Teknologi Alpha, Kolej Antarabangsa Unifield, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan dan Politeknik Port Dickson.

“Kesemua para pelajar ini dihantar menggunakan kenderaan USIM yang terdiri dari 7 buah bas, 5 buah kereta dan sebuah van menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang telah ditetapkan iaitu Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Muar, Pontian, Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah. Destinasi lain ialah Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson dan Tampin”.

“USIM memastikan setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diikuti sepanjang proses sebelum, semasa dan selepas penghantaran kumpulan pelajar ini. Bagi pelajar misalnya mereka perlu lulus saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti, mendaftar dalam aplikasi MySejahtera dan memiliki surat kebenaran pulang dari IPT masing-masing”.

“Semua kenderaan yang digunakan pula perlu melalui proses nyahkuman (disinfeksi) terlebih dahulu dan dalam hal ini, USIM telah mendapat kerjasama dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban untuk melaksanakan proses nyahkuman ini pada Khamis pagi. Para pemandu juga tidak terkecuali wajib lulus saringan kesihatan dan negatif pengambilan dadah”. ujarnya.

Dalam pada itu, bagi tujuan penyelarasan maklumat, keselamatan dan kebajikan para pelajar sepanjang perjalanan sehingga tiba di destinasi terjaga, USIM turut melantik seorang pegawai perhubungan (liason officer) bagi setiap bas. Kesemua pelajar yang dihantar pulang turut dibekalkan dengan makanan, penutup muka dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer). Penjarakan sosial turut dipraktikkan semasa di dalam bas iaitu hanya 20 penumpang sahaja dibenarkan dan wajib memakai penutup muka sepanjang perjalanan.

Turut hadir melihat penghantaran pulang pelajar ini di Dewan Tuanku Canselor USIM adalah Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad dan Timbalan Menteri Kewangan II, Tuan Mohd Shahar Abdullah.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan