NILAI, 21 April 2021 – Youth, Foresight and Civics Education (VALUES2021) adalah satu projek usaha sama strategik di antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur. Program ini bertujuan memberikan pendedahan ilmu dan kemahiran kepada belia berkaitan pendidikan sivik, kepemimpinan, kesukarelawanan, literasi kewangan dan literasi pemikiran masa hadapan (futures thinking).

Bertemakan ‘Penerapan Nilai Sivik dalam Pembentukan Insan Seimbang.’, program VALUES 2021 yang berlangsung selama satu tahun bermula bulan Januari lalu sehingga Disember 2021 telah dirasmikan dalam satu majlis khas di USIM pada hari ini. Bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM, ia dirasmikan secara maya oleh YB Dato’ Dr. Zulkifli Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut dihadiri Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. McFeeter dan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahidin.

Program ini merangkumi siri-siri latihan kepada belia di sekolah-sekolah dalam belia dalam lingkungan umur 16-25 tahun diterajui oleh barisan ahli projek yang terdiri daripada kalangan pensyarah USIM dengan penglibatan bersama pakar-pakar bidang daripada dalam dan luar USIM berkaitan isu-isu pendidikan sivik, kepemimpinan, kesukarelawanan, literasi kewangan dan literasi pemikiran masa hadapan (futures thinking). Program ini juga akan melibatkan sekolah-sekolah sebagai Sekolah Rakan VALUES 2021 dan penyertaan ini terbuka kepada sekolah-sekolah terutamanya sekolah-sekolah agama kerajaan/ kerajaan negeri atau swasta di luar bandar yang berminat.

Menurut Ketua Projek VALUES 2021, Dr. Norfadhilah Mohamad Ali, objektif utama program VALUES 2021 adalah membentuk modul khusus dan latihan kepada belia mengenai kepentingan kesedaran sivik dalam hidup bermasyarakat, latihan kepemimpinan, kesukarelawanan, literasi kewangan dan literasi pemikiran masa hadapan (futures thinking). “USIM berperanan membangunkan modul ini dan memberikan latihan kepada belia dengan menerapkan sudut pandang Islam berdasarkan konteks dan kesesuaian masyarakat Malaysia dan global. Program ini memberi keutamaan kepada belia dan sekolah-sekolah daripada luar bandar supaya dapat turut serta memanfaatkan peluang latihan ini”

“Program ini diharapkan dapat menyumbang ke arah pembentukan belia yang berupaya memainkan peranan dalam masyarakat dengan baik, mempunyai pendedahan kepada perkembangan sekeliling dan dunia luar, selesa dalam kepelbagaian budaya dan berpotensi memimpin dalam apa jua bidang yang diceburi.”.

“Ia juga ingin membimbing para belia pengaruh fahaman yang bertentangan dengan keamanan, kebaikan sejagat dan keharmonian. Selain daripada itu, program ini mensasarkan supaya kaedah futures thinking yang digunakan dalam latihan VALUES 2021 dapat disebar luas sebagai satu literasi penting pada abad ini, sebagaimana yang diisytiharkan oleh pertubuhan antarabangsa UNESCO” tambahnya yang juga merupakan pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan