Ahli Akademik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang juga merupakan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Profesor Madya Dr. Zulkifli Hasan, 39, menerima “Upcoming Shari’a Scholar 2016” dalam satu majlis, 6th Global Islamic Finance Awards (GIFA) di Fairmont Hotel, Jakarta, Indonesia pada 29 September.

Beliau menerima penganugerahan ini di atas pencapaian cemerlang dan sumbangannya ke arah membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam. Menurut Prof Zulkifli, penyertaannya bermula apabila beliau dicalonkan sebagai salah seorang penerima anugerah tersebut pada April lalu.

Selaras dengan objektif GIFA iaitu untuk mengetengahkan amalan terbaik serta meraikan kejayaaan institusi atau individu dalam industri, pelaksanaannya sebagai satu tanggungjawab sosial yang patuh  syariah dan memberi komitmen tinggi kepada bidang perbankan Islam dan kewangan.

Menurut Prof Zulkifli, penglibatannya secara tidak langsung apabila beliau dikehendaki menghantar dokumen berkaitan pencapaian serta pandangan berkenaan objektif pelaksanaan GIFA sepanjang berada dalam industri kewangan Islam melalui kerja-kerja penyelidikan bebas yang pernah dijalankan yang kemudian dinilai oleh Jawatankuasa GIFA.

“Saya amat berbesar hati menerima pengiktirafan sebegini kerana penerima anugerah yang lepas adalah mereka yang amat saya kagumi. Terima kasih saya ucapkan kepada guru-guru yang merupakan inspirasi kejayaan saya kini serta Jawatankuasa GIFA yang terlibat dalam proses penilaian. Adalah menjadi harapan saya supaya industri kewangan Islam akan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran baru serta mampu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi semasa dengan berorientasikan pendekatan secara holistik,” ujarnya.

Melalui GIFA, pengiktirafan yang diberikan adalah sebagai satu landasan terbaik bagi memperkenalkan individu-individu serta institusi yang telah mempamerkan pencapaian cemerlang serta aktif berkongsi buah pikiran kepada industri selain banyak memberi manfaat kepada industry.

Antara pencapaian lain, pada tahun 2014, Prof Dr Zulkifli adalah telah terpilih menjadi Fulbright U.S-Asean Visiting Scholars yang merupakan salah satu progam di bawah Fulbright U.S –Asean Initiative yang mendapat tajaan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Oleh:
Syazlyna Jamil