PUTRAJAYA – USIM melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) telah memeterai perjanjian dengan AlHijrah Media Corporation (AHMC) atau lebih dikenali sebagai TV AlHijrah pada satu majlis serba ringkas bertempat di Grand Garden Pavillion, Pulse Grande Hotel Putrajaya pada 27 November 2024, tepat jam 2 petang.
Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) ini dihadiri oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Dekan FKP, dan Datuk Dr Hassan Bahrom, Ahli Lembaga Pengarah USIM. Manakala bagi pihak TV AlHijrah, turut hadir ialah Tuan Hj Khair Ngadiron, Pengerusi TV AlHijrah, Tuan Hj Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, dan Puan Nadzariah Mohamed, Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah.
Memorandum Perjanjian ini diterajui oleh TV AlHijrah dan USIM melalui FKP dengan pelantikan pakar perunding diketuai oleh Professor Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa USIM bersama tiga orang pakar pembina modul untuk Akademi Seni Media Islam, Dr Sofia Hayati Yusoff, Dr Rosidayu Sabran, dan Dr Rosninawati Hussin, pensyarah Kanan Program Komunikasi FKP.
Majlis menandatangani perjanjian ini menandakan permulaan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, dengan matlamat memperkasakan pendidikan media Islam di Malaysia. Melalui MoA ini, AHMC dan USIM akan bersama-sama membangunkan modul latihan Akademi Seni Media Islam (ASMI), khususnya bagi pendakwah, pengacara, dan pakar akademik. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan penyampaian mesej berteraskan nilai Islam, di mana AHMC akan menjadi penggerak utama dalam menyediakan platform siaran, manakala USIM akan menyumbang kepakaran akademik untuk modul latihan ini.
Selain itu, kolaborasi ini juga melibatkan penubuhan jawatankuasa pengurusan khas yang terdiri daripada wakil-wakil kedua-dua pihak untuk memastikan pelaksanaan modul latihan berjalan lancar. Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab dalam menyelaras urusan pentadbiran dan menyelesaikan sebarang isu yang timbul sepanjang tempoh perjanjian. Dengan tempoh kerjasama selama tiga tahun, kedua-dua pihak berharap usaha ini bukan sahaja dapat memperkasa bidang penyiaran berteraskan Islam, tetapi juga mendukung misi USIM dan AHMC dalam mendidik masyarakat melalui kandungan media yang bermanfaat dan beretika.
Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan Tuan Hj Mohd Khair Ngadiron, Pengerusi TV AlHijrah dan ucapan Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM bagi menzahirkan sekalung tahniah atas usaha kepada termeterai kerjasama USIM-TV AlHijrah dalam pembangunan modul ASMI. Kemudian majlis diteruskan dengan sesi menandatangani MoA diantara USIM yang diwakili oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan TV AlHijrah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Hj Namanzee Harris.
Proses menandatangani MoA disaksikan oleh Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Dekan FKP, Datuk Dr Hassan Bahrom, Ahli Lembaga Pengarah USIM, Tuan Hj Khair Ngadiron, Pengerusi TV AlHijrah, dan Encik Mazlan Ahmad Palal, Setiausaha Syarikat bagi pihak TV AlHijrah