Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima khabar gembira daripada Kementerian Pendidikan Tinggi apabila YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan terus diberi kepercayaan sebagai Menteri Mentor USIM manakala jawatan Timbalan Menteri Mentor digalas peranannya oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pelantikan kedua-dua tokoh ini dibuat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi untuk tempoh dua tahun iaitu 2016-2018 dengan pemilihan kedua-duanya sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Mentor USIM diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei 2016 lalu. Di dalam surat pelantikan ini juga, YB Menteri Pendidikan Tinggi turut menyatakan bahawa hubungan yang erat di antara Menteri dan Timbalan Menteri Mentor bersama warga Universiti Awam Malaysia akan meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan tinggi di negara ini.

YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang telah menjalankan tugas selaku Menteri Mentor USIM dengan cemerlang sejak tahun 2014 telah merintis pelbagai kerjasama yang strategik di antara Universiti dan Kerajaan Negeri Sembilan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, libatsama komuniti, sukan dan pengantarabangsaan.

Antara kerjasama berimpak tingginya ialah penubuhan Klinik Pakar Kesihatan USIM di Nilai Square, Bandar Baru Nilai dan Klinik Pakar Mata Bergerak (KlipMobile) yang memberi rawatan mata khususnya kepada warga emas di seluruh daerah Negeri Sembilan.

Sementara itu, pelantikan YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki selaku Timbalan Menteri Mentor pertama USIM disambut baik Pengurusan dan warga Universiti bersesuaian dengan aspirasi Universiti ini sebagai institusi pendidikan tinggi yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli sebagai gagasannya.

YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki merupakan graduan cemerlang semasa menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), selain memiliki Sarjana Ekonomi, Perbankan dan Kewangan Islam serta Doktof Falsafah (PhD) Perbankan dan Kewangan Islam dari Loughborough University, United Kongdom. Beliau turut mempunyai latar belakang kepimpinan yang hebat dipelbagai peringkat terutamanya ketika menyandang jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islmaiah Malaysia (YADIM) selain dihormati kepakarannya dalam bidang Kewangan Islam.

Pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Mentor ini secara langsung memberi kebaikan kepada Pengurusan Universiti dan mahasiswa kerana mempunyai hubungan langsung dengan kepimpinan di peringkat Negeri dan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai agenda dan perancangan bagi melonjakkan nama Universiti dipersada pendidikan tinggi di dalam dan luar negara. Disamping itu, kecemerlangan akademik dan nilai kepimpinan tinggi yang dimiliki oleh mereka ini dapat dijadikan inspirasi dan contoh teladan buat mahasiswa USIM.

Oleh:
Zaini Othman