NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh pendekatan dakwah digital menerusi penerbitan filem pendek Ramadan 2026 berjudul “CUAI”, yang berjaya meraih lebih 15,000 tontonan dalam tempoh lapan hari sejak disiarkan pada 19 Februari lalu.
Diterbitkan oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM dengan idea kreatif pelajar StraComm Clique, karya ini mengangkat isu yang dekat dengan kehidupan generasi muda, khususnya kebergantungan terhadap telefon pintar dalam rutin harian.
“CUAI” mengisahkan Adam Zarqony yang berdepan ujian apabila telefon bimbitnya rosak menjelang peperiksaan. Pada awalnya, situasi tersebut dianggap sebagai musibah besar. Namun, kecuaian kecil yang berlaku akhirnya membuka ruang buat dirinya menilai semula keutamaan hidup, pengurusan masa serta tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa. Berlatarbelakangkan suasana Ramadan, filem pendek ini menyampaikan mesej disiplin diri, kesederhanaan dan penghargaan terhadap nikmat yang sering dipandang remeh.
Pembikinan filem ini melibatkan 11 orang kru dalam kalangan pelajar StraComm Clique yang dibantu oleh tiga pegawai StraComm, sekali gus mencerminkan kolaborasi erat antara pelajar dan pihak universiti dalam menghasilkan kandungan kreatif berkualiti.
Pengarah filem tersebut, Luqman Hakim Norizam, pelajar Tahun 2 yang juga Ketua Unit Multimedia StraComm Clique berkata, penggambaran projek iklan Ramadan ini mengambil masa lebih 24 jam tanpa henti, bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir sekitar jam 6 pagi keesokan harinya. Ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental kru produksi,” katanya.
Ini jelas bahawa komitmen tinggi seluruh pasukan menjadi kunci kejayaan projek ini. Beliau turut memaklumkan bahawa keseluruhan projek mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan, merangkumi fasa perancangan skrip, sesi pra-produksi, penggambaran sehingga ke proses penyuntingan akhir.
Menurut beliau lagi, bimbingan pegawai StraComm yang berpengalaman banyak membantu kru yang masih baharu dalam dunia produksi. Kejayaan tontonan yang dicapai dalam tempoh singkat membuktikan bahawa platform digital mampu dimanfaatkan sebagai medium dakwah yang efektif dan relevan dengan generasi muda.
Usaha ini selari dengan aspirasi USIM untuk terus memperkasa integrasi ilmu naqli dan aqli melalui pendekatan komunikasi kreatif yang segar, progresif dan berimpak tinggi dalam landskap media digital masa kini.