NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah menandatangani Letter of Intent (LOI) Institut Agama Islam Negeri Lhokseumawe Acheh, Indonesia bagi kerjasama dalam bidang akedemik dan penyelidikan berkaitan pembangunan komuniti OKU. Majlis tersebut telah diadakan pada 30 Julai 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat LPU, Bangunan Canselori USIM.

Majlis menandatangani LOI ini telah dilaksanakan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Rektor Institut Agama Islam Negeri Lhokseumawe Acheh Indonesia, Profesor Dr. Dr. Danial M. Ag.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin  berkata beliau amat berbangga dengan pencapaian dan kejayaan UMMI yang amat dinamik dalam membangunkan komuniti OKU melalui Dakwah OKU. Usaha murni ini harus diperkukuh melalui penganjuran program inklusif berimpak tinggi khususnya untuk mengisi kelompangan komuniti OKU merealisasi konsep indahnya hidup bersyariat.

“Usaha ini selaras dengan misi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi menerusi pemerkasaan bakat dan pengetahuan bagi mencapai kesejahteraan masyarakat untuk kemajuan negara yang mampan”, ujarnya lagi.

Sementara itu, Rektor Institut Agama Islam Negeri Lhokseumawe Acheh Indonesia, Profesor Dr. Dr. Danial M. Ag. telah menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak UMMI atas sambutan dan kesudian untuk menjalinkan kerjasama tersebut dan berharap agar aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan untuk manfaat kedua-dua institusi.

“Kami berharap pertemuan pada hari ini akan mengukuhkan lagi kerjasama antara USIM dan  IAIN Lhokseumawe Acheh dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam membangunkan komuniti OKU serantau” ujarnya.

USIM dan pihak delegasi Acheh telah mengadakan perbincangan terperinci berkenaan penganjuran program dan seminar secara bersama serta kerjasama penyelidikan berkaitan pembangunan komuniti OKU dan pertukaran pelajar serta pensyarah antara kedua-dua buah institusi turut diadakan sebelum majlis menandatangani LoI berlangsung. Kerjasama ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada komuniti OKU dan memberi impak dalam perkembangan ilmu dan perkongsian kepakaran demi ummah.

 

 

 

Sumber: Khairunnisa Ismail