NILAI – Pernah melakukan pelbagai pekerjaan sambilan termasuk mencuci tandas dan surau demi menampung kos sara hidup serta membeli lampin pakai buang untuk arwah bapa yang terlantar sakit, Norshafira Nazari, 23, hari ini membuktikan segala pengorbanan itu tidak sia-sia apabila berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam program Pentadbiran Muamalat Fakulti Ekonomi dan Muamalat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Anak kedua daripada tiga beradik ini mengakui kekangan kewangan keluarga memaksanya bekerja tanpa henti. Bermula dengan menjual wafel, beliau kemudian bekerja di sektor makanan dan minuman di Mesa Mall pada hari biasa, menjadi pemandu Grab, guru KAFA, dan turut mengambil upah sebagai petugas pembersihan termasuk mencuci tandas dan surau.
Menurut Norshafira, perjalanan menggenggam segulung ijazah bukan mudah, dan cabaran terbesar bermula selepas pemergian bapanya dua tahun lalu. Keperitan emosi yang dialami memberi kesan besar kepada kesihatan mental dan akademiknya sehingga keputusan peperiksaan pernah jatuh hampir ke PNKG 2.0.
Ketika berada di ambang putus asa dan hampir membuat keputusan untuk berhenti belajar, pesanan ibunya, Norhayati Binti Zakaria, 58, menjadi detik yang mengubah segalanya.
“Bayangkan kalau ayah tahu kakak nak berhenti. Mesti ayah kecewa. Kalau gagal atau tak dapat kelas pertama pun tak apa, yang penting habiskan ijazah,” pesan ibunya yang berniaga secara kecil-kecilan.
Kata-kata itu menjadi pembakar semangat buat Norshafira untuk bangkit semula. Dengan tekad dan kerja keras, beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa lain agar tidak membiarkan masalah peribadi menghalang mereka daripada mencapai kejayaan.
“Walaupun hadap macam-macam dugaan, tetap kena teruskan dan jangan berhenti berdoa. Kalau ada masa untuk risau, maknanya ada masa untuk berdoa. Jangan pernah berhenti belajar dan jangan putus asa,” katanya mengakhiri perbualan.
Oleh: Nur Khadija Sulaiman