TERENGGANU – Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar sejarah membanggakan apabila berjaya merangkul dua anugerah berprestij dalam Majlis Apresiasi & Iftar Perdana PERMATA Kebangsaan 2026 yang berlangsung pada 12 Mac 2026 baru-baru ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Ahmad Samsuri Mokhtar itu menyaksikan PERMATA USIM membuktikan keunggulannya apabila membawa pulang dua daripada enam anugerah utama yang dipertandingkan.
Pencapaian ini sekali gus meletakkan USIM sebagai antara institusi terbaik dalam kalangan 22 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara yang turut bersaing merebut pengiktirafan tersebut.
Kecemerlangan pengurusan persatuan terserlah apabila Barisan Kabinet PERMATA USIM Sesi 2024/2025 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengurusan PERMATA Terbaik. Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kualiti tadbir urus, kecekapan sistem organisasi serta komitmen barisan kepimpinan dalam memacu persatuan dari peringkat akar umbi hingga ke tahap kebangsaan.
Melengkapkan kejayaan tersebut, Anugerah Ikon PERMATA Unggul berjaya dirangkul oleh Sharifah Aleya Ayunie Syed Abd Rahman Alzawawi. Pengiktirafan itu diberikan susulan pencapaian cemerlang beliau yang sebelum ini turut menerima Anugerah Khas Lembaga Amanah Kolej Islam Malaysia pada Majlis Konvokesyen USIM ke-23.
Menurut Sharifah Aleya, beliau menzahirkan rasa syukur dan terharu atas penghargaan yang diterima, selain menganggap anugerah tersebut sebagai hasil sokongan pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan terharu menerima anugerah ini. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan penghargaan seperti ini. Bagi saya, anugerah ini bukan sahaja milik saya, tetapi juga untuk semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Beliau turut berharap agar PERMATA terus melangkah lebih jauh dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat.
“Semoga PERMATA terus menjadi wadah melahirkan lebih ramai individu berpotensi yang mampu berkembang dalam bidang masing-masing serta menyumbang secara positif kepada masyarakat pada masa hadapan,” ujarnya.
Kejayaan berganda ini membuktikan bahawa mahasiswa USIM bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik dan sahsiah, malah berupaya menjadi penanda aras dalam kepimpinan organisasi di peringkat nasional.
Tahniah diucapkan kepada seluruh ahli serta barisan kepimpinan PERMATA USIM atas pencapaian gemilang ini. Momentum kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin untuk terus berbakti kepada mahasiswa serta anak jati Terengganu di bumi barakah ini.
Oleh: Muhammad Mustaqim Zachury

