NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh pengurusan dan pembangunan mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi i-TAMKEEN, sebuah ekosistem holistik dan inklusif yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI).

USIM merupakan satu-satunya universiti yang membangunkan i-TAMKEEN sebagai inisiatif khusus untuk memperkasa mahasiswa OKU. Ekosistem itu dirangka bagi menangani pengurusan yang sebelum ini berpecah dan tidak berstruktur, sekali gus menyelaraskan sokongan kepada mahasiswa dari peringkat kemasukan sehingga peralihan ke alam kerjaya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah berkata, nama i-TAMKEEN mengambil inspirasi daripada perkataan Arab tamkeen yang membawa maksud pemerkasaan, pengupayaan dan pengukuhan keupayaan.

Ketika berucap pada sesi libat urus bersama mahasiswa OKU, beliau menggalakkan mereka membina potensi diri dan mengenali kebolehan yang mungkin belum disedari.

“Binalah potensi diri yang kuat. Kita ada keupayaan, kadang-kadang kita tidak sedar. Jangan serlahkan kekurangan, tukarkan kepada kelebihan. Kekurangan itulah yang akan menyerlahkan kebolehan mahasiswa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah UMMI, Profesor Madya Dr. Norakyairee Md Raus, berkata sesi libat urus yang melibatkan 11 jabatan USIM, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan SMOKU bertujuan mendapatkan maklumat serta mengenal pasti keperluan mahasiswa berkeperluan khas.

Menurut beliau, sesi berkenaan juga memberi ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan pihak pengurusan universiti dan merupakan salah satu fasa dalam agenda i-TAMKEEN.

“i-TAMKEEN merangkumi lima fasa utama, iaitu Kemasukan dan Adaptasi, Pemerkasaan Jati Diri, Pengupayaan Komuniti, Penempatan Latihan Industri Inklusif serta Graduasi dan Transisi Kerjaya. Pelaksanaan fasa tersebut turut disokong menerusi Dashboard Pengurusan Siswa Digital Bersepadu bagi membantu penyelarasan maklumat dan pemantauan keperluan mahasiswa OKU sepanjang pengajian”.

Melalui ekosistem tersebut, USIM berhasrat membantu mahasiswa OKU mengenal pasti potensi, membina keyakinan, mengembangkan keupayaan serta mencapai kecemerlangan secara lebih inklusif dan bermakna, ujarnya lagi.

i-TAMKEEN diperkenalkan bersempena Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2026/2027 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, pada 17 September 2026.