NILAI – StraComm Clique terus membuktikan peranannya sebagai platform pembangunan bakat mahasiswa apabila dua ahlinya berjaya meraih pengiktirafan utama pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) USIM 2024/2025 yang berlangsung pada 7 Julai 2026 baru-baru ini.

Mantan Presiden StraComm Clique, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini, 24, mahasiswa tahun empat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), mengharumkan nama organisasi apabila merangkul dua anugerah iaitu Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa dan Tokoh Sukarelawan Siswa.

Menurut Akmal, pengiktirafan tersebut amat bermakna dan menjadi bukti bahawa usaha, pengorbanan serta komitmen sepanjang bergelar mahasiswa akhirnya membuahkan hasil.

“Sejujurnya saya memang tidak percaya apabila diumumkan sebagai penerima dua anugerah. Saya sangat gembira kerana segala penat lelah sepanjang berada di USIM akhirnya terbayar dengan kemenangan ini,” katanya.

Kejayaan Akmal turut didorong oleh penglibatan aktif beliau dalam pelbagai inisiatif inovasi dan kesukarelawanan. Antaranya termasuk kejayaan dalam pertandingan DICE 3.0, program CSR Hasanah Care Centre bagi menyantuni warga emas serta misi bantuan ketika insiden kebocoran paip gas di Putra Heights.

Beliau berkata, pengalaman bersama StraComm Clique menjadi antara faktor penting dalam membentuk kemahiran insaniah, kepimpinan dan keyakinan dirinya. Sepanjang memegang amanah sebagai Presiden selama dua penggal, organisasi tersebut menjadi ruang untuk beliau berkarya, memimpin dan membawa nama StraComm Clique ke peringkat yang lebih tinggi.

Turut mencuri tumpuan pada malam tersebut ialah seorang lagi ahli StraComm Clique, Haikal Nazhan Hamdan, 23, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM (MPPUSIM) Sesi Akademik 2024/2025, yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh AKSIS dan Anugerah Kepimpinan Siswa.

Haikal menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan yang amat bermakna dan mendedikasikan kejayaan tersebut kepada ibunya serta ahli keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kepimpinannya. Beliau turut menyeru mahasiswa USIM agar terus aktif dalam aktiviti kampus, menyumbang kepada komuniti dan mengurus amanah dengan penuh tanggungjawab.

Kejayaan Akmal dan Haikal membuktikan bahawa StraComm Clique bukan sekadar organisasi mahasiswa, sebaliknya menjadi wadah pembentukan pemimpin muda yang cemerlang dalam kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan dan komunikasi strategik. Pencapaian ini turut mencerminkan budaya pembangunan mahasiswa USIM yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, sahsiah, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat.

AKSIS USIM Sesi Akademik 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), merupakan platform universiti bagi menghargai kecemerlangan mahasiswa dalam pelbagai bidang. Sebanyak 12 anugerah kategori individu, satu Anugerah Sinergi berkumpulan dan satu Anugerah Utama Tokoh AKSIS dipertandingkan bagi mengiktiraf sumbangan mahasiswa kepada universiti serta komuniti.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar , Eizza Anis Nafiesha Ag Ghani , Nur Khadija Sulaiman