NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi ilmu yang dekat dengan masyarakat apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dalam satu majlis yang berlangsung di Perpustakaan USIM pada semalam 8 Julai 2026.
Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani bersama Pengarah PPANS, Encik Hamdan Haji Nordin, dengan disaksikan oleh Ketua Pustakawan USIM, Datin Nor Azzah Momin dan Penolong Pengarah PPANS, Puan Berdiana Haji Berahim.
Kerjasama strategik ini menjadi manifestasi komitmen kedua-dua institusi dalam memperkasakan budaya membaca, pembangunan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat, khususnya untuk manfaat masyarakat di Negeri Sembilan. Ia turut memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan, berdaya saing dan celik maklumat.
Melalui MoU ini, USIM dan PPANS merancang melaksanakan pelbagai inisiatif bersama termasuk program outreach dan galakan membaca bersama komuniti, penganjuran seminar, forum, bengkel, latihan serta aktiviti ilmiah. Kerjasama ini juga merangkumi perkongsian kepakaran, sumber maklumat, pembangunan profesional dan penyelidikan dalam bidang perpustakaan serta pengurusan ilmu.
Selain itu, kedua-dua pihak turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan literasi maklumat, pendigitalan koleksi, pemeliharaan warisan ilmu, penerbitan bersama serta pelaksanaan program yang menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat secara lebih inklusif dan mampan.
Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, kerjasama strategik ini selari dengan aspirasi USIM sebagai universiti yang mengintegrasikan ilmu wahyu dan ilmu akal demi kesejahteraan ummah.
“Kerjasama ini saya harapkan akan memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, inovasi dan pembangunan komuniti. Perpustakaan pada hari ini bukan lagi sekadar tempat menyimpan koleksi, bahkan menjadi hab pembelajaran sepanjang hayat, pemerkasaan digital, literasi maklumat dan pembinaan masyarakat berpengetahuan,” katanya.
Sempena majlis tersebut, turut berlangsung Pameran Waghih Membaco dan eSport@USIM yang dibawakan oleh PPANS khusus untuk warga USIM. Pameran Waghih Membaco mengetengahkan inisiatif galakan membaca melalui bahan bacaan, pameran dan aktiviti interaktif, manakala eSport@USIM memberi pendedahan mengenai potensi industri e-sukan sebagai medium pembangunan bakat, inovasi dan penglibatan belia dalam era digital.
MoU antara USIM dan PPANS ini diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperluas akses ilmu, meningkatkan literasi maklumat serta memperkukuh budaya membaca melalui pendekatan yang lebih inklusif, inovatif dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Oleh: Siti Zahirah Zamri





