KUALA LUMPUR – Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh keterlibatannya dalam landskap penerbitan ilmiah antarabangsa apabila menjadi antara rakan strategik yang menjayakan International Publishers Congress (IPA Congress) ke-35 di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 5 hingga 8 Julai 2026.
Kongres yang menghimpunkan penerbit, penggubal dasar dan pemain industri penerbitan dari 43 buah negara itu mencatat sejarah apabila Malaysia dipilih sebagai tuan rumah buat julung kalinya. Penganjuran ini membuka ruang perkongsian idea, pengukuhan kerjasama antarabangsa serta penerokaan inovasi baharu dalam dunia penerbitan, termasuk kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI), penerbitan digital dan kelestarian industri buku.
Sebagai institusi penerbitan universiti yang aktif di peringkat nasional dan antarabangsa, Penerbit USIM memainkan peranan dalam menyokong kelancaran penganjuran kongres melalui kerjasama bersama Malaysian Book Publishers Association (MABOPA), International Publishers Association (IPA) serta pelbagai agensi dan organisasi penerbitan yang terlibat. Kerjasama penganjuran ini telah dimeterai melalui Letter of Intent (LoI) pada tahun lalu.
Penglibatan USIM turut diperkukuh melalui kerjasama Penerbit USIM bersama Pusat Kebudayaan USIM, khususnya dalam menampilkan elemen seni budaya Malaysia kepada delegasi antarabangsa semasa majlis pembukaan kongres. Persembahan kebudayaan yang dipersembahkan turut memberi nilai tambah kepada keterlihatan USIM dalam program bertaraf global tersebut.
Sepanjang kongres berlangsung, warga Penerbit USIM turut berperanan sebagai Pegawai Pengiring kepada delegasi dan penceramah antarabangsa, dengan sokongan pelajar Kelab Bitara Penerbit USIM. Seramai 25 orang Pegawai Pengiring terlibat dalam membantu urusan penerimaan tetamu, penyelarasan jadual program, pengiringan delegasi serta kelancaran komunikasi sepanjang program.
Komitmen, kemahiran berbahasa dan sahsiah yang ditunjukkan oleh warga serta pelajar USIM menerima maklum balas positif daripada delegasi luar negara. Penglibatan ini sekali gus mencerminkan keupayaan warga universiti, khususnya mahasiswa USIM, untuk berperanan secara profesional dalam program bertaraf antarabangsa.
Penyertaan ini turut memberi peluang kepada USIM untuk memperluaskan jaringan profesional dengan penerbit universiti, penerbit komersial, penggiat seni budaya dan organisasi penerbitan dari pelbagai negara. Hubungan strategik yang terbina dijangka membuka ruang kerjasama dalam bidang penerbitan ilmiah, penyelidikan, perkongsian kepakaran, hak cipta, penterjemahan karya serta pembangunan jurnal dan buku akademik bertaraf antarabangsa.
Pengarah Penerbit USIM, Puan Hariza Mohd Yusof berkata, penglibatan dalam IPA Congress 2026 adalah selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh jenama USIM sebagai peneraju penerbitan ilmiah Islam yang berkualiti di peringkat global, di samping menonjolkan kebitaraan modal insan dan budaya universiti.
“Penyertaan ini bukan sekadar menyokong penganjuran kongres, malah menjadi medan terbaik untuk memperkenalkan keupayaan Penerbit USIM serta keunikan identiti korporat universiti kepada komuniti antarabangsa. Ia juga membuka ruang jaringan strategik yang mampu meningkatkan keterlihatan hasil penerbitan serta bakat universiti,” katanya.
Melalui penglibatan ini, Penerbit USIM terus mengukuhkan peranannya dalam ekosistem penerbitan ilmiah, selain menyumbang kepada usaha memperluas jaringan ilmu, budaya dan profesionalisme USIM di peringkat antarabangsa.
Oleh: Mohamad Zulhilmi Mohd Nazar



