NILAI – Badan Kebajikan Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (BKKUSIM) dengan kerjasama Pusat Islam USIM menganjurkan Program Memasak dan Edaran Serawa Durian kepada warga universiti pada 22 Julai 2026 baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Pusat Islam dan Bangunan Canselori USIM itu menjadi antara inisiatif dalam menyemarakkan suasana kekeluargaan dan kebersamaan, selain mengeratkan ukhuwah serta hubungan antara kakitangan dan mahasiswa.

Pengerusi BKKUSIM, Encik Nur Ekmal Buhary berkata, sebanyak 400 pek serawa durian disediakan bersempena musim durian menerusi aktiviti gotong-royong yang melibatkan proses mendapatkan bahan mentah, memasak, membungkus dan mengagihkan hidangan tersebut kepada warga USIM.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama BKKUSIM, Pusat Islam serta duta-duta daripada Pusat Tanggungjawab yang terlibat, kami berjaya memasak dan mengedarkan 400 pek serawa durian kepada warga USIM,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga sepanjang pelaksanaan program tersebut.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua wakil yang terlibat dalam menyumbang tenaga dan semangat sepanjang pelaksanaan program.

“Tidak dilupakan pihak Pusat Islam yang menyediakan ruang memasak yang kondusif bagi memastikan proses penyediaan serawa durian dapat dijalankan dengan selesa,” katanya.

Program berkenaan turut menjadi ruang kepada warga universiti untuk berkongsi pengalaman serta membina hubungan yang lebih erat antara kakitangan dan mahasiswa.

Nur Ekmal berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai salah satu inisiatif yang mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan warga universiti.

“Harapan saya agar program ini menjadi satu langkah proaktif dalam mengeratkan hubungan antara warga universiti, sama ada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung”.

“Hubungan erat antara kakitangan dan mahasiswa mampu memberikan impak positif kepada kesejahteraan warga universiti,” katanya.

Program Memasak dan Edaran Serawa Durian itu bukan sahaja menghidupkan tradisi gotong-royong, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat kebersamaan serta mewujudkan suasana kekeluargaan dalam komuniti USIM.

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini, Aina Farzana Azrul Anuar dan Nur Khadija Sulaiman