NILAI – Seramai 25 ahli Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesi 2026/2027 menerima watikah pelantikan di Dewan Senat USIM, hari ini. Jawatankuasa itu diberi mandat mengendalikan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) 2026, dengan sasaran 98 peratus mahasiswa keluar mengundi.

Watikah tersebut disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah. Turut hadir Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Encik Md. Ishah Rahman, dan mantan Pengerusi JPMPP sesi 2025/2026, Amirul Hairie Muhammad.

Pelantikan itu menandakan bermulanya tanggungjawab rasmi JPMPP untuk mengendalikan proses pemilihan secara telus, berintegriti dan berkecuali. Barisan 25 ahli jawatankuasa tersebut turut dibantu oleh 15 anggota sekretariat yang menyokong urusan teknikal dan logistik sepanjang pemilihan.

JPMPP sesi ini dianggotai mahasiswa daripada pelbagai fakulti, peringkat umur dan latar belakang akademik. Kepelbagaian itu diharap dapat memperkukuh kerjasama dalam jawatankuasa serta memastikan proses pemilihan mengambil kira keperluan warga kampus.

Pada sesi pemilihan terdahulu, USIM mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 96.97 peratus. Presiden JPMPP sesi 2026/2027, Muhammad Azfar Arsyad Zainuddin, berkata sasaran baharu sebanyak 98 peratus menjadi dorongan kepada pasukannya untuk meningkatkan penyertaan mahasiswa.

“Semua ahli JPMPP datang daripada pelbagai fakulti, peringkat umur dan latar belakang. Namun, kami disatukan oleh matlamat yang sama, iaitu mengendalikan proses demokrasi kampus secara profesional, telus dan berkecuali.

“Sasaran ini bukan halangan, sebaliknya cabaran untuk kami memberikan yang terbaik dalam PMPP 2026,” katanya.

Menurut beliau, persiapan PMPP 2026 telah bermula pada 15 September lalu dengan hebahan notis rasmi pemilihan kepada warga kampus. JPMPP juga merancang untuk mengadakan sesi town hall bagi menerangkan fungsi jawatankuasa dan tatacara pemilihan kepada mahasiswa.

Selain itu, JPMPP akan bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/Siswi (JAKSA) di kolej kediaman bagi menyediakan ruang berkempen yang adil kepada para calon. Melalui kerjasama itu, calon berpeluang membentangkan agenda dan manifesto masing-masing secara beretika.

Muhammad Azfar Arsyad turut mengingatkan mahasiswa bahawa kejayaan pemilihan bergantung pada penyertaan aktif mereka.

“PMPP bukan sekadar rutin tahunan. Inilah masanya untuk mahasiswa menggunakan hak mengundi bagi menentukan wakil yang akan menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar USIM,” katanya.

Pelantikan JPMPP mencerminkan komitmen USIM untuk memperkukuh tadbir urus mahasiswa serta menyuburkan budaya demokrasi kampus yang matang dan berintegriti.

Oleh: Nur Khadija Sulaiman