KOTA KINABALU – Program Jelajah Mahasiswa: Dari Nogori ke Negeri Bawah Bayu berjaya memperkukuh jaringan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi pengisian kepimpinan, kesukarelawanan, kemasyarakatan dan kebudayaan selama lima hari bermula 11 hingga 15 Ogos lalu.
Program anjuran mahasiswa itu menghimpunkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, MPP UMS dan Kelab Kesukarelawanan Siswa UMS (KESUWA) menerusi pelbagai aktiviti yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepimpinan mahasiswa serta peranan golongan muda dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Pengarah Program, Siti Masrurah Dahli berkata, pengisian Jom Masuk Universiti menjadi platform kepada mahasiswa untuk berkongsi pengalaman sekali gus memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Semoga perkongsian dan pendedahan yang diberikan dapat menyuntik semangat serta meningkatkan keyakinan mereka untuk mengejar cita-cita dan melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Program bermula pada 11 Ogos dengan kunjungan hormat MPP USIM ke MPP UMS, diikuti Jelajah UMS serta sesi taklimat bersama KESUWA UMS.
Pada 12 Ogos, peserta menyertai aktiviti gotong-royong, Ziarah Prihatin, Sukan Rakyat dan taklimat Program Jom Masuk Universiti yang membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat.
Pengisian diteruskan pada 13 Ogos menerusi Program Jom Masuk Universiti, sesi panel kepimpinan mahasiswa, lawatan ke Muzium Sabah serta Malam Kebudayaan bersama MPP UMS dan KESUWA UMS.
Sesi panel kepimpinan menampilkan Yang Dipertua MPP USIM Sesi Akademik 2025/2026, Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi dan Presiden MPP UMS Sesi Akademik 2025/2026, Allen Paul Justinus Situ yang berkongsi pengalaman berkaitan kepimpinan mahasiswa serta kehidupan di institusi pengajian tinggi.
Pada 14 Ogos, peserta meneruskan program dengan kunjungan hormat ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Kundasang sebelum mengikuti lawatan sekitar Kundasang dan Program Kerohanian bersama penduduk Kampung Mesilou.
Menurut Siti Masrurah, program berkenaan turut menjadi medium dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan mempunyai kesedaran untuk menyumbang kepada masyarakat melalui ilmu serta pengalaman yang dimiliki.
Beliau berkata, hubungan yang terjalin antara mahasiswa USIM dan UMS diharap dapat diteruskan menerusi lebih banyak program kolaborasi khususnya dalam bidang kepimpinan, kesukarelawanan, akademik dan pembangunan komuniti.
Program berakhir pada 15 Ogos dengan perjalanan pulang peserta ke USIM selepas menyempurnakan rangkaian aktiviti sepanjang lima hari di Sabah.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini

