NILAI – Program FEM International Student Mobility (FISM) 2026 memperkukuh pengetahuan mahasiswa dalam pengurusan kewangan berkesan berteraskan perspektif Islam menerusi kerjasama antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universitas Medan Area, Indonesia.
Program anjuran Sekretariat Mahasiswa/i Fakulti Ekonomi dan Muamalat (SekreFEM) USIM itu berlangsung secara dalam talian pada 11 hingga 12 Ogos lalu dengan penyertaan mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM serta barisan panel daripada institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Timbalan Presiden SekreFEM USIM Sesi 2025/2026, Anis Batrisyia Abdul Aziz berkata, program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan perancangan kewangan, simpanan dan pelaburan sebagai asas dalam membina masa depan kewangan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Melalui pendekatan ini, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan secara teori, malah turut didedahkan kepada situasi dan pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
“Peserta juga dapat menghubungkan ilmu yang dipelajari di fakulti dengan isu dan realiti semasa, seterusnya memanfaatkan pengetahuan tersebut apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak,” katanya.
Antara pengisian utama FISM 2026 ialah Forum Pengurusan Kewangan yang menampilkan Prof. Madya Dr. Ahmad Rafiki dari Universitas Medan Area serta sesi muzakarah bersama Dr. Junaidah Abu Seman dari USIM dan Prof. Madya Dr. Mohd Adib Abd Muin dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pelaksanaan program itu turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk meningkatkan kefahaman mengenai pengurusan kewangan selain menghubungkan pengetahuan akademik dengan cabaran kewangan dalam kehidupan sebenar.
Kerjasama strategik antara persatuan mahasiswa dengan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara itu diharap dapat menyumbang kepada pembentukan Muslim profesional yang celik kewangan serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini, Muhammad Ikhwan Hafidz Ismail, Aina Farzana Azrul Anuar Dan Nur Khadija Sulaiman
