NILAI – Muzakarah Zakat Kebangsaan (MZK) Kali Ke-12 Tahun 2026 memberi fokus kepada kerelevanan dan transformasi pengurusan zakat berasaskan konsep wakalah menerusi penelitian terhadap aspek hukum, isu, cabaran dan penyelesaian masa depan.
Muzakarah yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 20 Ogos di Nilai Springs Resort Hotel, Nilai, Negeri Sembilan itu mengangkat tema “Kerelevanan dan Transformasi Pengurusan Zakat Berasaskan Konsep Wakalah: Analisis Hukum, Isu, Cabaran dan Penyelesaian Masa Depan”.
Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Dato’ Mohd Zaidi bin Ramli berkata, konsep wakalah perlu diteliti dari sudut hukum, perundangan, pelaporan dan amalan bagi memastikan pengurusan dana zakat yang diwakilkan kepada syarikat atau individu dilaksanakan mengikut ketetapan syariah.
Beliau berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk ketidakseragaman kadar wakalah antara negeri, pemantauan agihan, pertindanan penerimaan zakat oleh asnaf serta mekanisme pelaporan dana yang diserahkan kepada wakil.
“Bila konsep wakalah ini ada, sebenarnya peranan Majlis Agama Islam yang sepatutnya mengagihkan tetapi mewakilkan kepada syarikat dan juga individu untuk mengagihkan,” katanya.
Menurut beliau, satu panduan pelaporan perlu diwujudkan bagi memastikan dana zakat yang diserahkan kepada wakil dapat dibuktikan telah diagihkan kepada asnaf yang layak, selain mengelakkan berlaku pertindanan agihan.
Beliau berkata, muzakarah itu diharap dapat menghasilkan resolusi yang membawa kepada pembangunan satu garis panduan atau manual pengurusan wakalah zakat yang lebih patuh syariah untuk dijadikan rujukan oleh Majlis Agama Islam Negeri.
Sementara itu, Pengarah Institut Fatwa dan Halal (iFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Azman Ab Rahman berkata, pelaksanaan konsep wakalah perlu ditadbir urus secara lebih cermat bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.
Beliau berkata, konsep wakalah telah banyak membantu meningkatkan kutipan zakat di Malaysia, namun aspek tadbir urus perlu diberi perhatian supaya manfaatnya kepada golongan asnaf dapat dipertingkatkan.
“Konsep wakalah ini tidak dinafikan telah banyak membantu dalam meningkatkan kutipan zakat di Malaysia tetapi kita perlu lihat secara mendalam lagi supaya pendekatan pengurusan wakalah zakat ini diurus tadbir dengan lebih cermat,” katanya.
Menurut Prof. Dr. Azman, keyakinan masyarakat terhadap pengurusan institusi zakat yang lebih baik berpotensi menyumbang kepada peningkatan kutipan serta manfaat yang diterima golongan asnaf.
Dato’ Mohd Zaidi turut menegaskan bahawa pengurusan zakat perlu mengambil kira perkembangan teknologi digital serta penggunaan data dan kecerdasan buatan, namun pelaksanaannya hendaklah kekal dalam kerangka syariah, integriti dan akauntabiliti.
MZK Kali Ke-12 dianjurkan oleh iFFAH USIM dengan kerjasama JAWHAR serta Majlis Wakaf dan Endowmen Zakat IPT Malaysia (MAWEZ).
Muzakarah itu turut menyaksikan pelancaran Buku Modul Pengurusan Amil Zakat Malaysia dan Brunei Darussalam.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi, Iqbal Ilyas Mohd Nordin



