NILAI – Seramai 275 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah menamatkan Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) 2026 anjuran Institut Pengajian Bahasa Arab (IBRAZ), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebagai persediaan memperkukuh kompetensi bahasa, keyakinan serta kesiapsiagaan mereka sebelum mengikuti pengajian di Mesir, Jordan dan negara Arab lain.

Majlis Penutupan KIBA 2026 berlangsung pada hari ini 24 Ogos di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM dengan menghimpunkan peserta, wakil agensi penaja, tenaga pengajar serta rakan strategik program.

KIBA 2026 yang dilaksanakan secara berperingkat dari Jun hingga Ogos melibatkan 42 peserta Program Pelajar Cemerlang (PPC) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 79 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), 13 pelajar tajaan Bank Rakyat dan 141 pelajar di bawah MedicMesir. Kursus selama satu hingga tiga bulan itu menyediakan persediaan bahasa Arab secara sistematik dan berstruktur mengikut tahap penguasaan peserta.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM merangkap menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, yang mewakili Naib Canselor USIM berkata, penguasaan bahasa Arab merupakan antara asas penting yang perlu dimiliki pelajar Malaysia sebelum memulakan pengajian di Timur Tengah.

“Kita mahu anak-anak Malaysia berangkat ke Mesir dan Jordan bukan sekadar dengan tiket penerbangan dan surat tawaran di tangan, tetapi dengan kompetensi bahasa, keyakinan dan kesiapsiagaan diri untuk menempuh pengajian dan kehidupan di sana. Persediaan KIBA dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek bahasa, akademik, mental, psikologi dan kenegaraan supaya mereka benar-benar bersedia menghadapi persekitaran baharu,” katanya.

Menurut beliau, peranan IBRAZ dalam memperkasakan penguasaan bahasa Arab pelajar Malaysia turut berkembang susulan aspirasi untuk menyediakan persediaan bahasa yang lebih sistematik kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian bukan sahaja ke Mesir, malah ke Jordan dan negara Arab lain. Usaha berkenaan selaras dengan hasrat USIM untuk menjadikan IBRAZ sebagai pusat rujukan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab kepada bukan penutur jati pada peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Bagi memperkukuh pengalaman pembelajaran, kurikulum KIBA 2026 diperkaya melalui penggabungan kandungan Tuhfah Azhariyyah al-Azhar dengan pendekatan Mu‘Ayashah Lughawiyyah atau Penghayatan Bahasa. Enam pensyarah dari Mesir turut membimbing peserta secara intensif melalui pembelajaran di dalam dan luar kelas bagi membolehkan bahasa Arab didengar, dituturkan dan digunakan secara aktif dalam pelbagai situasi.

Program itu turut merangkumi Perkhemahan Bahasa, sesi persediaan mental dan psikologi serta kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia menerusi latihan kenegaraan selama lima hari bagi memperkukuh jati diri, disiplin dan kesedaran peserta terhadap tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, KPM, Tuan Haji Omar Salleh, yang mewakili Ketua Setiausaha KPM berkata, IBRAZ mempunyai potensi untuk menjadi rakan strategik kementerian dalam membangunkan ekosistem persediaan bahasa Arab yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.

“Kita mempunyai aspirasi untuk melihat IBRAZ terus berkembang sebagai pusat persediaan bahasa Arab yang diyakini dan diiktiraf, bukan sahaja oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia, malah oleh universiti di Jordan dan negara destinasi pengajian pelajar kita. Kerjasama pada masa hadapan juga berpotensi memudahkan transisi pelajar, mengurangkan kos serta menjadikan laluan pendidikan ke Jordan lebih tersusun dan efisien,” katanya.

KPM turut melihat penguasaan bahasa Arab sebagai sebahagian daripada kesinambungan pendidikan yang perlu diperkukuh dari peringkat sekolah sehingga pendidikan tinggi dan alam kerjaya. Bahasa Arab bukan sahaja berperanan sebagai medium komunikasi, malah menjadi bahasa ilmu yang membantu pelajar memahami sumber agama serta membina keupayaan untuk berinteraksi dalam persekitaran global.

Melalui pelaksanaan KIBA, USIM dan IBRAZ terus memperkukuh peranan dalam menyediakan pelajar Malaysia dengan persediaan bahasa dan pembangunan diri yang holistik sebelum menuntut ilmu di luar negara, di samping memperluas kerjasama strategik bersama KPM, MARA, Bank Rakyat dan MedicMesir demi meningkatkan kualiti persediaan pelajar ke peringkat antarabangsa.

Oleh: Umar Haziq Aminurrahman