ARAU – Seramai 19 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan 2026 (SIGMA 2026) yang berlangsung pada 18 hingga 19 Ogos 2026 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai platform memperkukuh kepimpinan, kesukarelawanan serta jaringan mahasiswa di peringkat kebangsaan.

Sepanjang dua hari penganjuran, delegasi USIM terlibat dalam pelbagai pengisian termasuk sesi pembentangan, perkongsian amalan terbaik dan pertukaran pengalaman bersama mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam yang lain.

Antara penglibatan utama delegasi USIM ialah pembentangan oleh Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) sesi 2025/2026 menerusi kluster Impact and Sustainability yang mengetengahkan beberapa inisiatif kesukarelawanan universiti.

Program yang dikongsikan termasuk USIM Living Lab Edisi Ramadan, USIM Living Lab 3.0, Jaulah Sukarelawan Sabah dan Jaulah Sukarelawan USIM 2025 yang memberi gambaran mengenai pendekatan mahasiswa USIM dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawanan berasaskan impak dan kelestarian.

Timbalan Presiden 1 Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) sesi 2025/2026, Muhammad Ameer Danial Norasbi, 23, mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) berkata, penyertaan dalam SIGMA 2026 memberi ruang kepada mahasiswa USIM memperluas kemahiran kepimpinan dan pengalaman dalam pengurusan program.

“Penyertaan ini bukan sahaja memberi ruang kepada kami memperkenalkan peranan dan aktiviti Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM USIM) di peringkat kebangsaan, malah turut membuka peluang untuk membina jaringan kerjasama yang lebih luas dalam bidang kesukarelawanan dan kepimpinan mahasiswa,” katanya.

Menurut beliau, sesi pembentangan dalam kluster Impact and Sustainability turut memberi pendedahan kepada peserta terhadap pelbagai pendekatan dan inisiatif kesukarelawanan yang dilaksanakan oleh universiti lain.

Pendedahan tersebut membolehkan mahasiswa mendapatkan idea baharu dalam merancang program yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah mempunyai elemen kreativiti, impak serta kelestarian yang lebih jelas.

Muhammad Ameer Danial berkata, interaksi bersama mahasiswa daripada universiti lain turut membuka perspektif terhadap pelbagai gaya kepimpinan dan kaedah pengurusan program yang boleh disesuaikan dengan keperluan mahasiswa USIM.

“Setiap universiti mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Pengalaman ini boleh kami aplikasikan dalam program akan datang bagi menghasilkan impak yang lebih besar berbanding program sebelum ini,” katanya.

SIGMA 2026 menghimpunkan mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam menerusi pelbagai pengisian berkaitan kepimpinan, kesukarelawanan, pengurusan mahasiswa serta perkongsian amalan terbaik.

Penganjurannya turut menyediakan ruang kepada peserta bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan membina jaringan strategik, sekali gus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti.

Selain memperluas jaringan, penyertaan USIM dalam simposium berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa meneliti inovasi serta pendekatan pengurusan mahasiswa yang dilaksanakan di universiti lain untuk dijadikan rujukan dalam penambahbaikan program dan inisiatif di USIM.

Penglibatan delegasi USIM dalam SIGMA 2026 sekali gus memperkukuh usaha universiti membentuk mahasiswa yang mempunyai kemahiran kepimpinan, jati diri, semangat kesukarelawanan serta keupayaan membina kerjasama merentas institusi bagi menghasilkan impak yang lebih luas kepada universiti dan masyarakat.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar