NILAI – Seramai 47 Pegawai Kadet Peringkat Senior Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Perbarisan Penyerahan Bendera USIM di Dataran Canselori pada 21 Ogos 2026 sebagai persediaan menghadapi Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-44 yang dijadualkan berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 12 September 2026.
Majlis penyerahan bendera disempurnakan oleh Naib Canselor USIM yang juga Komandan PALAPES USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Menurut beliau, penyerahan bendera bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa makna besar sebagai lambang kepercayaan, amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap pegawai kadet dalam membawa nama universiti.
“Penyerahan bendera ini membawa erti yang besar. Ia bukan sekadar sehelai kain, tetapi melambangkan maruah, tanggungjawab dan perjuangan dengan membawa nama Universiti Sains Islam Malaysia yang kita sayangi ini,” katanya.
Beliau berkata, amanah tersebut turut mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pihak universiti dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada para Pegawai Kadet Peringkat Senior yang bakal ditauliahkan.
Sepanjang tiga tahun mengikuti PALAPES, para pegawai kadet telah melalui pelbagai bentuk latihan termasuk latihan fizikal, medan dan kepimpinan bagi membentuk ketahanan diri, disiplin serta keupayaan bekerja secara berpasukan.
Sebagai persediaan akhir menjelang Istiadat Pentauliahan Diraja, mereka bakal menjalani latihan kawad selama tiga minggu di UniMAP yang turut menguji ketahanan fizikal, kekuatan mental dan disiplin.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin berkata, latihan tersebut perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembentukan karakter dan kepimpinan, bukan semata-mata untuk menghasilkan pergerakan kawad yang kemas dan teratur.
“Setiap peluh yang menitis, setiap arahan yang ditegaskan dan setiap langkah yang diselaraskan semuanya adalah untuk membentuk anda menjadi seorang pegawai yang berkualiti, berintegriti dan berkebolehan memimpin,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para pegawai kadet agar menghayati prinsip ‘Sentiasa Memimpin’ sebagai panduan dalam melaksanakan tanggungjawab selepas ditauliahkan serta terus menjaga nama baik PALAPES dan USIM di mana sahaja mereka berada.
Dalam perkembangan berkaitan, Sesi Pertemuan bersama Ketua Jurulatih (CI) baharu PALAPES USIM turut berlangsung pada hari sama di Pejabat Naib Canselor USIM.
Ketua Jurulatih PALAPES USIM yang baharu, Mejar Shafuza bin Suboh, telah menerima amanah tersebut pada 17 Ogos 2026.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin menzahirkan ucapan selamat datang dan selamat menjalankan amanah kepada beliau serta menyatakan keyakinan terhadap pengalaman, kebolehan dan komitmen yang dimiliki dalam meneruskan kecemerlangan latihan PALAPES USIM.
Beliau turut menyeru seluruh pegawai, jurulatih, staf dan pegawai kadet supaya memberikan kerjasama serta sokongan penuh kepada Ketua Jurulatih baharu bagi memastikan setiap perancangan dan latihan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Penyerahan bendera tersebut menjadi antara fasa penting dalam perjalanan 47 Pegawai Kadet Peringkat Senior PALAPES USIM menuju pentauliahan, sekali gus membawa amanah untuk menjunjung nama universiti serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar


