BANGI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi kepakaran Prof. Ts. Dr. Madihah Mohd Saudi dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) menerajui kajian penubuhan Cyber Crime Fusion Centre (CCFC) yang kini memasuki fasa kedua dengan memberi fokus kepada pembangunan Model Tadbir Urus dan Model Operasi pusat berkenaan.

Kajian tersebut mendapat perhatian pada 6th International Cyber Resilience Conference (CRC 2026) di Bangi Resort Hotel, Selangor, sebagai antara inisiatif yang menghubungkan aspek risikan, siasatan, operasi, teknologi, perkongsian data dan pencegahan jenayah siber.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, pengiktirafan terhadap kajian itu mencerminkan keupayaan kepakaran akademik USIM dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan penyelidikan bagi menangani cabaran keselamatan siber negara.

“Keperluan kepada pendekatan baharu ini semakin mendesak apabila Malaysia merekodkan 66,204 kes jenayah siber dengan kerugian RM2.97 bilion pada 2025 berbanding 35,368 kes dan kerugian RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan jenayah siber bukan lagi semata-mata isu teknologi tetapi turut memberi kesan langsung kepada keselamatan dan masyarakat,” katanya.

Menurut Prof. Ts. Dr. Madihah, penubuhan CCFC bukan sekadar melibatkan pembangunan pusat fizikal atau penggunaan teknologi baharu, sebaliknya bertujuan membentuk ekosistem nasional yang mengintegrasikan manusia, proses dan teknologi menerusi tadbir urus tersusun serta perkongsian risikan yang berkesan.

“CCFC perlu menjadi platform yang membolehkan maklumat dan risikan daripada pelbagai agensi digabungkan bagi menghasilkan gambaran ancaman yang lebih menyeluruh supaya negara dapat beralih daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan berasaskan risikan, pencegahan dan tindak balas pantas,” katanya.

CRC 2026 menghimpunkan 321 peserta secara fizikal dan 149 peserta secara dalam talian dari dalam serta luar negara, selain dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kajian penubuhan CCFC yang diterajui USIM bersama rakan strategik daripada sektor kerajaan, penguatkuasaan, akademia dan industri berpotensi memperkukuh ekosistem tindak balas terhadap jenayah siber di peringkat nasional serta meningkatkan keupayaan Malaysia menghadapi ancaman jenayah digital yang semakin kompleks.

 

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin dan Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini