MEDAN – Pertukaran budaya bukan sekadar memperkenalkan makanan, pakaian atau permainan tradisional, tetapi membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami masyarakat lain, menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan membina keyakinan melalui pengalaman secara langsung.

Pengalaman itu dilalui oleh 19 mahasiswa Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi GISO Medan: Nusantara 2026: A Journey of Unity and Shared Aspirations yang berlangsung selama lapan hari dari 23 hingga 30 Ogos 2026.

Program tersebut menjadi medan kepada mahasiswa untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat tempatan di Medan, selain menyelami sendiri budaya, tradisi dan kehidupan masyarakat Indonesia.

 

Pengarah Program, Nazmi Afham Ramli, 22, berkata pengalaman berinteraksi secara langsung dengan masyarakat tempatan memberikan nilai pembelajaran yang jauh lebih luas daripada apa yang diperoleh di dalam bilik kuliah.

“Program GISO Medan ini memberi impak yang sangat positif kepada kami kerana bukan sahaja berpeluang memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat Indonesia, malah turut mempelajari budaya dan kehidupan masyarakat di sana secara lebih dekat.

“Interaksi seperti ini membantu kami meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan bekerja dalam pasukan, selain membuka ruang untuk mempelajari perkara baharu di luar bidang pengajian,” katanya.

Pertukaran budaya menjadi antara teras utama program menerusi pelbagai aktiviti yang membolehkan mahasiswa berkongsi identiti dan warisan Malaysia dengan komuniti setempat.

Menerusi Rasa-rasa Warisan, peserta memperkenalkan makanan tradisional Malaysia dalam dua edisi. Raya Edition mengetengahkan nasi himpit dan kuah kacang, manakala Snack Edition memperkenalkan pelbagai jenis kerepek termasuk kerepek pisang, kerepek bawang, kerepek roda dan kerepek kentang.

Elemen warisan turut diteruskan menerusi Rekreasi Warisan yang memperkenalkan permainan tradisional seperti guli, cap teh, dam haji, tepuk batang aiskrim, batu Seremban dan ceper.

 

Aktiviti seni Hands of Hope pula membuka ruang kepada masyarakat tempatan mengenali seni batik Malaysia melalui aktiviti mewarna, sekali gus mewujudkan interaksi secara santai antara mahasiswa dengan komuniti.

Namun pengalaman budaya yang diperoleh mahasiswa tidak terhad kepada aktiviti yang mereka bawa dari Malaysia.

Peserta turut mendalami sejarah dan warisan masyarakat tempatan menerusi lawatan ke Huta Siallagan di Pulau Samosir untuk mengenali sejarah dan budaya masyarakat Batak serta mengunjungi Istana Maimoon bagi memahami sejarah Kesultanan Deli di Medan.

Bagi Nazmi, antara pengalaman paling bermakna sepanjang program ialah apabila pertukaran budaya berlaku secara spontan, di luar perancangan rasmi program.

Pada hari kedua, beliau bersama ahli pasukan dan pensyarah, Dr. Nurshamimitul Ezza, mengambil inisiatif mendekati masyarakat tempatan selepas selesai aktiviti di Bukit Kubu, Berastagi.

Mereka kemudiannya menemui komuniti di sekitar Greenkids Berastagi dan Menjuah Juah Park Berastagi berhampiran tempat penginapan sebelum memulakan interaksi walaupun aktiviti tersebut tidak termasuk dalam itinerari asal.

“Alhamdulillah, kami menerima sambutan yang sangat positif dan mesra daripada masyarakat tempatan. Kami turut berpeluang menyertai aktiviti senamrobik bersama mereka dengan mengenakan pakaian tradisional Malaysia seperti baju Melayu dan baju kurung.

“Pengalaman itu bukan sahaja menyeronokkan, malah membuka ruang untuk kami berinteraksi dengan masyarakat tempatan dalam suasana lebih santai sambil memperkenalkan identiti dan budaya Malaysia,” katanya.

Pertemuan spontan itu turut memberi peluang kepada mahasiswa mempelajari budaya masyarakat setempat melalui perkongsian secara langsung, menjadikan proses pertukaran budaya berlaku secara semula jadi tanpa batasan acara formal.

Menurut Nazmi, kesungguhan ahli pasukan untuk terus mendekati masyarakat meskipun berdepan perbezaan cara komunikasi dan perlu berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali menjadi antara pengalaman penting dalam membentuk keyakinan mereka.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa kejayaan sesebuah program bukan hanya bergantung kepada perancangan yang rapi. Ia juga memerlukan inisiatif, keberanian mengambil peluang, kerjasama, komunikasi dan keupayaan menyesuaikan diri apabila berdepan keadaan yang tidak dijangka,” katanya.

Pengalaman sepanjang GISO Medan memperlihatkan bahawa pembelajaran mahasiswa tidak semestinya berlaku melalui kuliah atau tugasan akademik semata-mata.

Berada dalam persekitaran yang berbeza memerlukan peserta belajar berkomunikasi, menyelesaikan masalah, bekerjasama dan menyesuaikan diri dengan situasi sebenar.

Pada masa yang sama, pengalaman berkongsi budaya Malaysia sambil mempelajari budaya Indonesia membantu mahasiswa melihat persamaan dan keunikan masyarakat serumpun dari perspektif yang lebih dekat.

GISO Medan 2026 sekali gus menjadi ruang pembelajaran berasaskan pengalaman yang memperluas perspektif mahasiswa, meningkatkan kemahiran insaniah dan membina keupayaan untuk berinteraksi dalam masyarakat yang pelbagai.

Lebih daripada sebuah program mobiliti antarabangsa, pengalaman tersebut memberi peluang kepada mahasiswa membawa identiti Malaysia ke luar negara sambil pulang dengan kefahaman baharu tentang budaya, masyarakat dan nilai kebersamaan di rantau Nusantara.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar