SURABAYA Penglibatan lima mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Youth Community in Digital Society (YOUNITY 2026) di Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia dari 31 Ogos hingga 5 September 2026 membuka ruang kepada mahasiswa memperluas pendedahan antarabangsa melalui interaksi rentas budaya, perkongsian ilmu dan kerjasama bersama peserta dari pelbagai negara.

Salah seorang peserta, Nur Aisya Sofea Binti Shaipul Bahri, 21, mahasiswa tahun tiga Program Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), berkata penyertaannya dalam program tersebut memberi peluang untuk merasai pengalaman pembelajaran dalam persekitaran antarabangsa selain mengenali budaya Indonesia dengan lebih dekat.

Peluang menyertai YOUNITY 2026 diperoleh selepas Sofea menerima tawaran daripada pihak USIM Alamiyyah. Menurutnya, program tersebut menarik minat beliau kerana memberi ruang untuk berinteraksi dengan mahasiswa daripada latar belakang yang berbeza serta meneroka pengalaman pembelajaran di luar negara.

“Saya tertarik untuk menyertai YOUNITY kerana program ini memberi peluang untuk saya merasai pengalaman pembelajaran antarabangsa, berinteraksi dengan mahasiswa dari latar belakang yang berbeza serta mengenali budaya Indonesia dengan lebih dekat,” katanya.

Sepanjang program, peserta mengikuti beberapa kuliah jemputan di Fakulti Sains Sosial dan Politik, Sekolah Pengajian Siswazah serta Fakulti Psikologi, Universitas Airlangga. Mereka turut menyertai aktiviti seperti lawatan sekitar bandar Surabaya, kunjungan ke Muzium Bank Indonesia dan Muzium Tugu Pahlawan serta lawatan kampus di Kampus B UNAIR.

Antara pengalaman yang paling bermakna bagi Sofea ialah peluang mempelajari dan mencuba sendiri alat muzik tradisional Indonesia menerusi aktiviti Gamelan dan Kolintang Practice, yang memberi pendedahan secara langsung terhadap kepelbagaian budaya tempatan.

Penglibatan mahasiswa daripada 11 negara termasuk Malaysia turut memberi peluang kepada peserta untuk bertukar pandangan dan bekerjasama dalam suasana pembelajaran yang merentasi perbezaan latar belakang universiti dan negara.

“Sebanyak 11 negara terlibat dalam YOUNITY kali ini termasuk Malaysia. Walaupun kami datang daripada universiti dan negara yang berbeza, kami tetap boleh bertukar pandangan dan bekerjasama dengan baik,” katanya.

Selain pengisian akademik dan budaya, YOUNITY 2026 turut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan transformasi digital, human resilience, sustainability dan cultural awareness menerusi pendekatan interdisiplin serta kerjasama multibudaya.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar