Dalam dunia yang semakin terbuka tanpa batas geografi, mahasiswa tidak lagi hanya dituntut menguasai ilmu dalam bidang pengajian masing-masing, tetapi juga perlu memahami realiti masyarakat yang berbeza, berkomunikasi merentas budaya serta mampu membawa nilai yang dipelajari untuk memberi manfaat kepada komuniti.
Bagi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pengalaman pembelajaran di luar kampus merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh konsep integrasi ilmu yang menggabungkan pengetahuan, nilai Islam dan kemahiran insaniah dalam membentuk Muslim Profesional yang bersedia menghadapi cabaran global.
Pendekatan ini dapat dilihat menerusi penglibatan 23 mahasiswa Tahun 4 Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM dalam program Global Islamic Students Outreach (GISO) 2026: Qassr Travelogue in Seoul yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan. Program tersebut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kehidupan komuniti Muslim dalam konteks masyarakat minoriti, selain memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan kebolehsuaian dalam persekitaran antarabangsa.
Lebih daripada sekadar mobiliti antarabangsa, pengalaman tersebut menjadi ruang kepada mahasiswa memahami bagaimana ilmu Islam, komunikasi dan khidmat masyarakat boleh diterjemahkan dalam suasana yang berbeza daripada persekitaran mereka di Malaysia.
Berada dalam masyarakat yang mempunyai latar budaya dan agama berbeza memberikan perspektif baharu kepada mahasiswa tentang cabaran serta peluang yang dihadapi komuniti Muslim di luar negara.
Melalui penglibatan bersama komuniti tempatan, mahasiswa berpeluang menghubungkan ilmu yang dipelajari di universiti dengan keperluan masyarakat melalui aktiviti perkongsian ilmu, pertukaran budaya dan penglibatan komuniti.
Antara pengisian yang memberi nilai signifikan ialah sesi Signs of the Quran di Prince Sultan Islamic School yang memperkenalkan aspek pendidikan al-Quran secara inklusif melalui bahasa isyarat asas, Bahasa Isyarat Hijaiyyah dan Kod Tangan al-Quran (KTQ).
Inisiatif tersebut membuka kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan memastikan pendidikan agama dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat termasuk komuniti pekak.
Selain itu, program Quran Hour di Masjid Itaewon memberi ruang kepada mahasiswa menghayati pengisian al-Quran melalui tadabbur, tadarus dan interaksi bersama komuniti Muslim setempat, sekali gus mengekalkan penghayatan nilai Islam walaupun berada jauh dari tanah air.
Pengalaman global turut membina kefahaman bahawa ilmu bukan hanya untuk dikembangkan dalam lingkungan akademik, tetapi menjadi medium membina hubungan dan persefahaman antara masyarakat.
Melalui aktiviti pertukaran budaya di Bukchon Hanok Village, Ihwa Mural Village dan Boramae Park, mahasiswa memperkenalkan identiti Malaysia melalui pakaian tradisional Melayu serta Bahasa Melayu kepada masyarakat Korea, di samping mengenali budaya tempatan secara lebih dekat.
Usaha perkongsian ilmu turut diteruskan melalui sesi Pemindahan Ilmu dan Penglibatan Komuniti bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Generasi Mahasiswa Islam Korea (GMIK) di Sechawan Cafe, Myeongdong.
Sesi tersebut melibatkan forum berkaitan peranan mahasiswa, perkongsian kehidupan mahasiswa Malaysia dan Korea Selatan, pengenalan USIM serta perkongsian mengenai pendekatan pendidikan al-Quran yang lebih inklusif melalui UMMI Maktum USIM.
Menurut Pengarah Program GISO 2026: Qassr Travelogue in Seoul, Muhammad Alif Najmi Rizuan, pengalaman tersebut membuka perspektif mahasiswa bahawa ilmu yang dipelajari di universiti perlu dimanfaatkan apabila berinteraksi dengan masyarakat yang mempunyai latar belakang dan keperluan berbeza.
“Pengalaman ini membuka perspektif kami bahawa ilmu yang dipelajari di universiti bukan sekadar untuk berada di dalam kelas, tetapi boleh dibawa dan dimanfaatkan apabila kita berinteraksi dengan masyarakat yang mempunyai latar belakang, budaya dan keperluan yang berbeza,” katanya.
Pengalaman berada dalam komuniti Muslim minoriti turut mengajar mahasiswa untuk lebih menghargai ruang dan kemudahan yang dinikmati sebagai Muslim di Malaysia, selain memahami bahawa perbezaan persekitaran bukan penghalang untuk berkongsi ilmu serta menyumbang kepada masyarakat.
Dalam konteks pendidikan tinggi masa kini, pengalaman seperti GISO menjadi pelengkap kepada pembangunan mahasiswa kerana ia membina bukan sahaja pengetahuan akademik, tetapi juga kematangan sosial, empati dan keupayaan menyesuaikan diri dalam dunia global.
GISO 2026 turut menyumbang kepada usaha memperkukuh jaringan antarabangsa USIM melalui penglibatan mahasiswa bersama komuniti Muslim serta organisasi mahasiswa Malaysia di Korea Selatan, termasuk perkongsian ilmu berkaitan al-Quran, Bahasa Isyarat Hijaiyyah dan Kod Tangan al-Quran (KTQ).
Akhirnya, pengalaman merentas sempadan seperti ini memperlihatkan bahawa pembentukan mahasiswa Muslim Profesional tidak hanya bergantung kepada penguasaan ilmu, tetapi juga kemampuan memahami masyarakat, menghargai kepelbagaian dan membawa nilai Islam melalui tindakan yang memberi manfaat.
Melalui pendekatan integrasi ilmu yang diterapkan, USIM terus memperkasa mahasiswa agar mampu menjadi generasi berilmu, berakhlak dan bersedia menyumbang dalam masyarakat global.
Oleh: Fatin Najiha Binti Obaidillah



