NILAI – Keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 membawa tuah kepada Zulfati Husna Zulkifli, 20, apabila beliau menerima Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi Pelajar Terbaik STPM di Universiti Awam yang disediakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Husna merupakan antara 27 pelajar terbaik STPM yang menerima tajaan tersebut bagi mengikuti pengajian di universiti awam, sekali gus membuka peluang kepadanya meneruskan cita-cita dalam bidang pendidikan.
Anak keempat daripada lima beradik yang berasal dari Tanjung Tualang, Perak itu kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).
Kejayaan tersebut hadir selepas beliau bangkit daripada keputusan awal STPM dengan PNGK 3.25 sebelum memperbaikinya kepada keputusan penuh 4.00 menerusi peperiksaan ulangan.
Husna berkata, cabaran kesihatan berupa sakit kepala yang teruk ketika menduduki peperiksaan semester kedua STPM tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha mencapai keputusan lebih baik.
“Cabaran semasa belajar memang banyak, antaranya masalah kesihatan apabila saya diuji dengan sakit kepala yang amat teruk semasa dalam dewan peperiksaan, tetapi itu bukan penghalang untuk saya mencapai kejayaan kerana saya bangkit semula dalam peperiksaan ulangan dan alhamdulillah berjaya meningkatkan keputusan daripada 3.25 kepada 4.00,” katanya.
Berasal daripada keluarga sederhana, Husna merupakan anak kepada Zulkifli Isha, 51, yang bekerja di sebuah kilang dan Rohana Jusoh, 51, seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Perak.
USIM menjadi pilihan pertama Husna dalam permohonan UPU kerana minatnya terhadap bidang pendidikan serta hasrat untuk membina kerjaya sebagai seorang guru yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila mengetahui dirinya menerima tajaan berkenaan selepas semakan keputusan UPU kerana tidak menyangka pencapaian STPM tersebut membuka peluang melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung sepenuhnya kos pengajian.
Menurut Husna, peluang melanjutkan pengajian di USIM menjadi langkah penting untuk membentuk dirinya sebagai seorang pendidik yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
Bapanya berkata, penerimaan tajaan tersebut bukan sahaja membanggakan keluarga, malah membantu meringankan beban kewangan dalam menyediakan keperluan pengajian Husna di peringkat universiti.
“Tajaan ini sangat membantu dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga untuk menghantar Husna melanjutkan pengajian ke universiti,” ujar beliau.
Ibunya pula berharap Husna dapat menghadapi setiap cabaran sepanjang pengajian dengan tenang serta menjadikan proses menuntut ilmu sebagai satu ibadah.
Perjalanan Husna daripada keputusan STPM 3.25 kepada pencapaian PNGK 4.00 membuktikan bahawa kesungguhan, ketabahan dan keazaman mampu membuka ruang kepada kejayaan serta merealisasikan impian melanjutkan pengajian tinggi.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar

