JELEBU – Seramai 115 kanak-kanak asnaf dari lima daerah di Negeri Sembilan menyertai Kem Pendidikan Seksualiti Kanak-kanak (PASAK) 2026 (Siri 1) bagi meningkatkan kefahaman mengenai pendidikan seksualiti, keselamatan diri dan perubahan ketika akil baligh melalui pendekatan yang mengintegrasikan ilmu sains dengan nilai Islam.

Program selama dua hari satu malam pada 5 hingga 6 September itu berlangsung di Kem D’Agroloka, Jelebu dengan penyertaan kanak-kanak dari Gemas, Jempol, Tampin, Kuala Pilah dan Jelebu.

Kem PASAK dilaksanakan berasaskan Modul PASAK yang dibangunkan kumpulan penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan pembiayaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Modul itu memberi penekanan kepada kefahaman mengenai diri dan tubuh badan, perubahan fizikal serta emosi ketika akil baligh, penjagaan aurat, batas pergaulan, penghargaan terhadap fitrah dan pengenalpastian risiko yang boleh mengancam keselamatan diri.

Peserta turut dibimbing membina kemahiran membuat keputusan, melindungi diri serta mendapatkan bantuan apabila berhadapan situasi tidak selamat sama ada dalam persekitaran fizikal atau digital.

Program berkenaan merupakan kerjasama antara Unit Kaunseling, Unit Penyelidikan dan Unit Agihan Zakat MAINS bersama Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), pasukan penyelidik Fakulti Syariah dan Undang-Undang serta Kolej PERMATA Insan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Agihan MAINS, Encik Mohd Hasni Zulkifle berkata, Kem PASAK membantu kanak-kanak memahami tanggungjawab menjaga diri melalui pendekatan yang menggabungkan ilmu, nilai Islam dan pengalaman pembelajaran.

“Melalui Kem PASAK, anak-anak dididik untuk menjaga tubuh sebagai amanah Allah, menjaga maruah diri serta membina keyakinan dan keberanian untuk melindungi diri daripada bahaya, sekali gus membantu mereka membuat keputusan yang wajar demi keselamatan dan kesejahteraan diri,” katanya.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman turut dilaksanakan menerusi aktiviti interaktif yang menggabungkan elemen ilmu, kerohanian, permainan, cabaran berkumpulan dan refleksi diri.

Pengisian program memberi ruang kepada peserta menghubungkan pengetahuan dengan situasi kehidupan seharian, termasuk memahami perubahan diri, menjaga batas pergaulan serta mengenal pasti tindakan yang sesuai apabila berhadapan risiko keselamatan.

Program diakhiri dengan bacaan Ikrar Wira PASAK berteraskan tiga mesej utama, iaitu “Jaga Amanah, Jaga Maruah, Berani Bertindak” sebagai panduan peserta dalam mengaplikasikan pembelajaran yang diperoleh.

Pelaksanaan Kem PASAK 2026 diharap dapat memperluas akses pendidikan dan pembangunan diri kepada kanak-kanak asnaf, sekali gus membantu mereka menghadapi cabaran semasa dengan pengetahuan, keyakinan dan Kemahiran melindungi diri yang lebih baik.

Oleh: Dr. Nur Al-Farhain Kamaruzaman