NILAI – Menghadapi skoliosis dengan kelengkungan tulang belakang mencecah 54 darjah tidak mematahkan semangat Aisyah Abdul Hamid, 21, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-Undang dan Syariah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Sesi Akademik 2026/2027.
Anak jati Besut, Terengganu itu mendaftar hari ini di Dewan Tuanku Canselor sebagai mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) selepas menamatkan Diploma Undang-Undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Aisyah berkata, gabungan pengajian undang-undang sivil dan syariah menjadi antara faktor utama beliau memilih USIM untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
“Salah satu sebab saya memilih USIM adalah kerana program ini menawarkan kombinasi Undang-Undang dan Syariah yang menyeluruh,” katanya.
Cabaran kesihatan mula dirasainya sejak Tingkatan Satu apabila kesakitan dan lenguh pada bahagian belakang menyebabkan beliau sukar duduk dalam tempoh lama ketika mengikuti pembelajaran di kelas.
Keadaan kelengkungan tulang belakang berbentuk ‘C’ pada bahagian pinggang itu pada awalnya berada pada sudut 42 darjah sebelum meningkat kepada 54 darjah, namun pemeriksaan susulan mendapati keadaannya kini stabil.
Pembedahan pembetulan tulang pernah dirancang ketika beliau berada di Tingkatan Lima tetapi ditangguhkan bagi memberi laluan kepada persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Meskipun berdepan cabaran fizikal, Aisyah membiasakan diri menguruskan keperluan hariannya secara berdikari dengan sokongan berterusan daripada ibu bapanya, Abdul Hamid Muda, 57, dan Norazita Muhammad, 56.
Aisyah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik turut memasang impian membina kerjaya dalam bidang undang-undang, namun minat utamanya adalah untuk menjadi seorang pensyarah.
“Harapan saya semoga dapat mencapai kejayaan di sini, dan jika ada rezeki saya berhasrat menjadi peguam, namun minat utama saya lebih terarah untuk bergelar pensyarah,” katanya.
Sebagai ahli keluarga pertama melanjutkan pengajian di USIM, langkah Aisyah ke menara gading membawa harapan untuk membuktikan bahawa cabaran fizikal tidak harus mengehadkan peluang seseorang mengejar pendidikan serta membina kerjaya yang diimpikan.
Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin
