NILAI Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi universiti awam pertama menubuhkan Panel Syariah khusus di bawah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan (DSE) bagi memperkukuh tadbir urus keselamatan dan penguatkuasaan berteraskan nilai syariah.

Penubuhan panel itu bertujuan memberikan pandangan serta nasihat berkaitan aspek syariah dalam pengurusan isu keselamatan dan penguatkuasaan universiti, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.

Skop pertimbangan panel merangkumi isu sosial, akidah, ideologi, penyebaran maklumat, media sosial, salah laku serta perkara yang boleh memberi kesan terhadap keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian warga kampus.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kewujudan panel berkenaan melengkapkan pendekatan keselamatan universiti dengan pertimbangan yang lebih menyeluruh.

“Penubuhan Panel Syariah DSE melengkapkan tadbir urus keselamatan USIM dengan pendekatan yang bukan sahaja profesional dan berintegriti, malah turut berpandukan nilai syariah, keadilan, pencegahan dan kemaslahatan warga universiti,” katanya.

Panel itu turut berperanan membantu DSE dalam aspek penilaian, pencegahan, pemantauan dan intervensi, selain memberi input terhadap penambahbaikan garis panduan serta pendekatan penguatkuasaan.

Pendekatan tersebut membolehkan sesuatu isu dinilai bukan sahaja dari sudut peraturan dan tindakan penguatkuasaan, malah turut mengambil kira aspek keadilan, kemaslahatan, pencegahan dan penjagaan maruah manusia.

Majlis Serahan Surat Lantikan Panel Syariah DSE berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori pada 10 September lalu dan dipengerusikan oleh Naib Canselor.

Turut hadir Pendaftar, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan, Tuan Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin.

Panel Syariah DSE dianggotai Dr. Abdullah Jalil dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Profesor Madya Dr. Mohamad Zaharuddin Zakaria dan Profesor Madya Dr. Mohd Nasir Abdul Majid dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang serta Profesor Madya Dr. Ahmad Naaja’ Mokhtar dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Penubuhan panel itu selaras dengan pendekatan USIM yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dalam usaha memastikan aspek keselamatan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berteraskan nilai.

Melalui inisiatif tersebut, USIM menyasarkan fungsi keselamatan dan penguatkuasaan yang lebih holistik bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian warga kampus terus terpelihara.

Oleh: Zakaria Kasa