KUNDASANG Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM) memperkukuh kerjasama kepakaran kesihatan antara universiti awam melalui Program University Social Responsibility (USR) bersama komuniti di Sekolah Kebangsaan Mesilou, Kundasang, Sabah pada Ogos lalu.

Program itu melibatkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam usaha membawa pendidikan kesihatan dan kesejahteraan lebih dekat kepada masyarakat.

Sebagai Sekretariat MAKESUM, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) USIM memainkan peranan menyelaras jaringan berkenaan dengan menghubungkan kepakaran universiti awam melalui aktiviti kesihatan dan khidmat komuniti.

Antara pengisian program ialah Cabaran Dapur Sihat, Ziarah Insani Komuniti, Inisiatif Rawatan Sejahtera (ZIKIRS), aktiviti “Bah, Jom Zumba!”, “Jom Jadi Hygiene Hero!” serta perkongsian berkaitan kesihatan dan gaya hidup sihat.

Pendekatan interaktif itu membolehkan masyarakat memperoleh pendedahan mengenai pemakanan, kebersihan, kesejahteraan fizikal dan amalan hidup sihat melalui aktiviti yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM merangkap Pengerusi MAKESUM, Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah berkata, program berkenaan menjadi wadah untuk universiti menggabungkan ilmu, kepakaran dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Program USR ini bukan sekadar inisiatif turun padang, tetapi menjadi platform untuk universiti berkongsi ilmu, kepakaran dan tanggungjawab sosial secara langsung bersama masyarakat,” katanya.

“Melalui kolaborasi antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan komuniti, kita dapat memperluas manfaat serta menghasilkan impak yang lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat,” tambah beliau.

MAKESUM turut menjadi platform kepada Pengarah Pusat Kesihatan Universiti daripada universiti awam untuk berkongsi pengalaman serta menyelaras agenda kesihatan yang memerlukan kerjasama antara institusi.

Penglibatan USIM sebagai sekretariat memperlihatkan peranan universiti dalam memperluas manfaat kepakaran kesihatan daripada warga kampus kepada komuniti melalui jaringan strategik bersama universiti awam.

Kerjasama menerusi MAKESUM diharap dapat terus diperkukuh secara berterusan supaya kepakaran, sumber dan pengetahuan universiti awam dapat dimanfaatkan secara kolektif bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di seluruh negara.

Oleh: Fatimah Hanum Samsuri