NILAIUniversiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima sumbangan dana fidyah berjumlah RM758,000 daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerusi Program MAINSCare IPT bagi membiayai tajaan makanan kepada pelajar asnaf dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Sumbangan itu disampaikan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat USIM 1448H yang berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM), hari ini.

Program MAINSCare IPT merupakan inisiatif MAINS untuk menyalurkan dana fidyah melalui tajaan makanan kepada pelajar yang memerlukan di institusi pendidikan tinggi terpilih di Negeri Sembilan.

Penyerahan simbolik sumbangan disempurnakan Pengarah Jabatan Wakaf dan Mal MAINS, Tuan Haji Norazman Amat kepada USIM dalam majlis bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, sumbangan berkenaan memberi manfaat langsung kepada pelajar yang memerlukan, khususnya dalam membantu mereka menghadapi beban kewangan sepanjang tempoh pengajian.

“Sumbangan ini amat besar maknanya, khususnya dalam membantu meringankan beban kewangan serta menjaga kebajikan pelajar USIM yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MAINS atas keprihatinan dan komitmen berterusan dalam menyokong kebajikan mahasiswa USIM.

Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM akan menyelaras proses mengenal pasti penerima serta pengagihan bantuan makanan bagi memastikan dana berkenaan disalurkan secara teratur dan berfokus kepada pelajar yang layak.

Tajaan makanan itu diharap dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan lebih baik terhadap pengajian dan pembangunan diri.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul berkenaan turut diisi dengan alunan qasidah oleh Soutul Muazzin, penyampaian Sijil Rakan KPT serta sesi cabutan bertuah.

Sumbangan menerusi MAINSCare IPT memperkukuh kerjasama antara USIM dan MAINS dalam membangunkan jaringan sokongan kebajikan yang dapat membantu mahasiswa asnaf dan B40 meneruskan pengajian dalam keadaan lebih terjamin.

Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin dan Nur Khadija Sulaiman