MARAN Membesar dalam keluarga sederhana dengan ayah yang mencari rezeki sebagai penoreh getah dan ibu seorang suri rumah tidak pernah mematahkan tekad Muhammad Ikhwan Naufal Mazelan,19, untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya menjadi pendorong kepadanya membina masa depan lebih baik buat keluarga melalui pendidikan.

Anak bongsu daripada empat beradik itu bakal mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 15 September ini dengan membawa harapan untuk memanfaatkan peluang pengajian sebaik mungkin sebagai membalas pengorbanan kedua-dua ibu bapanya.

Bapanya, Mazelan Abdul Rahman, 63, mencari rezeki sebagai penoreh getah manakala ibunya, Siti Nor Ismail, 59, merupakan suri rumah yang selama ini menjadi tonggak keluarga dalam menguruskan keperluan anak-anak.

Perjalanan keluarga itu turut diuji apabila Mazelan pernah mengalami masalah jantung dan strok, namun ketabahannya untuk kembali bangkit demi keluarga menjadi antara sumber kekuatan Ikhwan dalam meneruskan cita-cita.

Bagi Ikhwan, kehidupan sederhana bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya setiap kesukaran yang dilalui keluarganya menjadi dorongan untuk beliau berusaha lebih gigih dalam pengajian.

Kisah bakal mahasiswa itu mendapat perhatian menerusi Program Ziarah Kasih apabila Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah mengetuai kunjungan ke kediaman keluarganya di Maran.

Dalam kunjungan tersebut, Ikhwan menerima sumbangan zakat RM500 daripada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM serta Bantuan Awal Pendidikan Tinggi daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi membantu persediaannya sebelum memulakan pengajian.

Prof. Dr. Mushaddad berkata, latar belakang keluarga dan cabaran kehidupan perlu dijadikan kekuatan untuk seseorang mahasiswa terus berusaha mengubah masa depan melalui ilmu.

“Jangan pernah rasa rendah dengan keadaan kita hari ini, sebaliknya jadikan setiap kesusahan sebagai kekuatan untuk melangkah lebih jauh kerana ilmu yang dituntut inilah yang suatu hari nanti mampu mengubah kehidupan kita dan keluarga,” katanya.

Menurut beliau, langkah seseorang anak ke menara gading bukan hanya membawa impian peribadi tetapi turut membawa harapan ibu bapa yang telah banyak berkorban demi memastikan anak-anak memperoleh pendidikan.

“Jadikan pengorbanan ibu dan ayah sebagai kekuatan, biar penat mereka hari ini menjadi sebab untuk kita berusaha lebih gigih pada hari esok,” tambah beliau.

Bagi Ikhwan, peluang memasuki USIM bukan sekadar perjalanan mendapatkan kelayakan akademik, tetapi menjadi titik permulaan kepada usahanya untuk membina kehidupan lebih baik serta membalas jasa kedua-dua ibu bapanya.

USIM akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan dan keperluan mahasiswa supaya cabaran kewangan serta latar belakang keluarga tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk memperoleh pendidikan tinggi dan membina masa depan.

Oleh: Muhamad Ikmal Firdaus Mustafa