SURABAYA – Penglibatan 10 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam INTEGRATION 2026 (International Student Exchange and Cultural Immersion Program) di Universitas Airlangga (UNAIR) membuka ruang pembelajaran antarabangsa melalui penggabungan aspek akademik, kebudayaan dan pengalaman rentas budaya.
Program menerusi USIM ‘Alamiyyah melalui CARE CREW (International Learning Experience) itu berlangsung dari 5 hingga 10 September 2026 di Surabaya, Indonesia sebagai platform memperluas perspektif global serta memperkukuh hubungan institusi antara kedua-dua universiti.
Penyertaan tersebut melibatkan mahasiswa daripada empat fakulti iaitu Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) serta Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM).
Delegasi USIM turut disertai dua staf USIM ‘Alamiyyah, iaitu Muhammad Luqman Hakim Mohd Nazri, Penolong Pendaftar dan Ahmad Isamudin Jamaludin, Pembantu Tadbir bagi mendapatkan pendedahan terhadap pengurusan mobiliti antarabangsa serta memperkukuh jaringan institusi.
INTEGRATION 2026 menyediakan pengalaman pembelajaran yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai isu semasa khususnya Online Gender-Based Violence (OGBV) menerusi sesi akademik, perbincangan kumpulan, pembentangan dan perkongsian kepakaran.
Selain aspek akademik, program tersebut turut memperkukuh kemahiran komunikasi silang budaya, kebolehsuaian dan pemahaman terhadap perspektif global melalui interaksi bersama komuniti akademik serta peserta antarabangsa.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk lawatan kebudayaan sekitar Surabaya, sesi pengenalan universiti, interaksi bersama mahasiswa antarabangsa serta sesi akademik berkaitan pencegahan, penilaian dan intervensi terhadap keganasan berasaskan gender dalam ruang digital.
Pengalaman pembelajaran turut diperkaya menerusi aktiviti cultural immersion di Pacet dan Prigen yang memberi peluang kepada peserta mengenali budaya, persekitaran serta tarikan tempatan Indonesia di luar konteks bilik kuliah.
Menurut pihak USIM ‘Alamiyyah, penyertaan dalam program berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman antarabangsa kepada mahasiswa, malah membantu membentuk graduan yang mampu menghubungkan ilmu, nilai dan pengalaman global.
“Penyertaan USIM dalam INTEGRATION 2026 bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman pembelajaran antarabangsa, malah menjadi platform penting dalam membentuk graduan yang mampu menghubungkan ilmu, nilai dan pengalaman global,” katanya.
Program tersebut turut memberi peluang kepada USIM ‘Alamiyyah mempelajari amalan terbaik Universitas Airlangga dalam pengurusan mobiliti antarabangsa bagi memperkukuh pelaksanaan program mobiliti universiti pada masa hadapan.
Penglibatan mahasiswa USIM dalam INTEGRATION 2026 mencerminkan usaha universiti memperluas pengalaman pembelajaran melangkaui sempadan negara melalui pendekatan integrasi ilmu, interaksi budaya dan jaringan akademik antarabangsa.
Melalui pengalaman tersebut, mahasiswa berpeluang memperkukuh kemahiran insaniah, meningkatkan kefahaman terhadap isu global serta mempersiapkan diri sebagai graduan yang berdaya saing dalam persekitaran antarabangsa.
Oleh: Muhammad Luqman Hakim Mohd Nazri

