JAKARTA – Pengalaman menjalani latihan industri selama 16 minggu di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memberi pendedahan antarabangsa kepada mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Alif Najmi Rizuan dalam mengembangkan kemahiran profesional, multimedia dan pengurusan dalam persekitaran diplomatik.

Mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dengan Multimedia dengan Kepujian itu menjalani latihan industri dari 10 Mac hingga 26 Jun lepas di bawah Education Malaysia Indonesia (EMI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Latihan tersebut memberi peluang kepada beliau memahami pengurusan organisasi, komunikasi rasmi, pengendalian program, penghasilan bahan multimedia serta urusan berkaitan hubungan Malaysia-Indonesia secara langsung.

Sepanjang tempoh latihan, Muhammad Alif terlibat dalam penghasilan bahan promosi program rasmi kedutaan, penyediaan slaid pembentangan, bahan sokongan mesyuarat serta pembangunan platform pemantauan aktiviti Education Malaysia Indonesia.

Beliau turut membangunkan platform pengurusan dokumen bagi JAKIM yang membantu proses pengumpulan, semakan dan penyimpanan dokumen berkaitan urusan perkahwinan pasangan Malaysia-Indonesia.

Selain tugasan teknikal, pengalaman tersebut turut melibatkan pengurusan fotografi dan videografi, penyediaan laporan rasmi, pengurusan pangkalan data emel serta penglibatan sebagai pengacara EMI On Air Podcast dan pengacara majlis bagi program rasmi kedutaan.

Pendedahan antarabangsa itu turut diperluas menerusi penglibatan dalam pertemuan rasmi bersama organisasi dan institusi luar, perbincangan berkaitan hal ehwal halal bersama pihak Indonesia serta menghadiri Majlis Isbat Indonesia sebagai wakil pemerhati Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Menurut Muhammad Alif, pengalaman berada dalam persekitaran kedutaan memberikan perspektif baharu tentang peranan mahasiswa USIM dalam membawa nilai ilmu dan profesionalisme ke peringkat antarabangsa.

“Pengalaman menjalani latihan industri di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna kerana saya bukan sahaja dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di USIM, khususnya dalam bidang al-Quran dan Multimedia, malah berpeluang memahami realiti dunia profesional dalam konteks hubungan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman tersebut turut membentuk kefahaman bahawa seorang Muslim Profesional bukan sekadar memiliki kemahiran dan ilmu, tetapi perlu membawa nilai integriti, amanah, adab serta tanggungjawab dalam setiap tugasan yang dilaksanakan.

Interaksi bersama pegawai, organisasi dan rakan strategik dari Malaysia serta Indonesia turut membantu membina keyakinan beliau untuk menyumbang sebagai graduan yang mampu membawa ilmu dan nilai Islam ke peringkat global.

Menurut beliau, pengalaman tersebut turut mengajar kepentingan kerja berpasukan, komunikasi profesional dan kebolehan menyesuaikan diri dengan pelbagai tugasan dalam sesebuah organisasi.

Latihan industri berkenaan mencerminkan usaha USIM dalam melahirkan graduan seimbang dari aspek ilmu, kemahiran dan nilai melalui pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli dalam persekitaran kerja sebenar.

Pengalaman di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta membuktikan bahawa pembelajaran mahasiswa tidak terhad di bilik kuliah, sebaliknya dapat diperkembangkan melalui pendedahan industri dan jaringan antarabangsa bagi membentuk graduan yang bersedia menghadapi cabaran profesional.