YUNNAN Khidmat komuniti rentas negara menerusi sumbangan keperluan ibadah, perkongsian ilmu, pertukaran budaya dan pemeliharaan alam sekitar menjadi antara fokus utama penglibatan 16 mahasiswa Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Global Islamic Students Outreach (GISO) 2026 di Yunnan, China.

Program yang berlangsung selama lapan hari dari 6 hingga 13 September 2026 itu turut disertai seorang pegawai pengiring, dengan pelaksanaan aktiviti merangkumi pemindahan ilmu, khidmat komuniti, pertukaran budaya serta usaha meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan peserta dan komuniti setempat.

Pengarah Program GISO 2026, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini berkata, penglibatan mahasiswa dalam program berkenaan bukan sekadar memberi pengalaman berada di luar negara, malah membuka ruang kepada mereka menyumbang secara langsung kepada masyarakat setempat.

“Kita mahu mahasiswa bukan sahaja datang sebagai pelancong, tetapi hadir sebagai duta kecil USIM dan Malaysia. Melalui pertukaran budaya dan penglibatan bersama komuniti setempat, mereka dapat berkongsi budaya Malaysia sambil memahami kehidupan masyarakat Muslim di China,” katanya.

Antara inisiatif khidmat komuniti yang dilaksanakan ialah kunjungan ke Masjid Nancheng, Kunming dengan penghasilan kandungan promosi bagi media sosial masjid serta sumbangan sejadah dan telekung untuk kegunaan komuniti setempat.

Sumbangan keperluan ibadah turut disalurkan di Shuncheng Muslim Cultural Area dan Masjid Yongning, selain peserta mengadakan sesi perkongsian al-Quran dan tajwid bersama masyarakat tempatan sebagai medium pertukaran ilmu antara komuniti Muslim Malaysia dan China.

Di Dali pula, mahasiswa USIM terlibat dalam aktiviti pembersihan kawasan sekitar Tasik Erhai serta menghasilkan video khidmat awam berkaitan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Aspek pertukaran budaya turut diberi penekanan menerusi pengenalan pakaian tradisional seperti Baju Melayu dan Baju Kurung, permainan tradisional congkak serta batu seremban dan makanan halal tradisional Malaysia kepada masyarakat tempatan di Dali dan Lijiang.

Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti tersebut turut memberi pendedahan kepada mereka mengenai kepelbagaian latar masyarakat Muslim di China serta keperluan untuk menyesuaikan pendekatan komunikasi ketika melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dalam konteks antarabangsa.

Program GISO 2026 secara keseluruhannya menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan kemahiran komunikasi, pengurusan program dan kesukarelawanan dalam situasi sebenar, di samping memperluas jaringan interaksi antara mahasiswa USIM dengan komuniti di luar negara.

Pelaksanaan program itu juga mencerminkan peranan mahasiswa sebagai penggerak aktiviti kemasyarakatan yang bukan sahaja membawa identiti USIM, malah memperkenalkan nilai, budaya dan pendekatan kesukarelawanan Malaysia kepada komuniti antarabangsa.

 

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini