ARAU – Lt. Muda Muhammad Hazim Syahmi bin Mohd Nazri, 23, dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Darat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-44 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), pada 12 September 2026 bari-baru ini.

Mahasiswa Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian itu menerima pengiktirafan berkenaan selepas menyerlah dalam aspek kepimpinan, disiplin serta penglibatan aktif dalam aktiviti akademik dan kemahasiswaan sepanjang bergelar pegawai kadet.

Anak kelahiran Sik, Kedah itu pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Rendah Kanan PALAPES USIM dan Yang Dipertua Peringkat Senior, selain mewakili fakulti dalam acara Road Relay Inter Faculty League USIM 2026.

Beliau turut aktif dalam pelbagai kegiatan akademik dan kemahasiswaan termasuk penulisan artikel Insaniah Edisi 2 Tahun 2026, Kursus Asas Faraidh: Sistem Pewarisan Islam yang Sistematik 2026, Forum Bicara Mega Cendekia peringkat FSU 2025 serta Workshop Intensif Usul Fiqh 3: Dalalatul Alfaz.

Penglibatan beliau turut merangkumi Konvensyen Jenayah Syariah peringkat USIM 2025, Himpunan Solidariti Palestine 2.0 peringkat USIM 2025, Taaruf Sarjana Muda 2025 serta larian Wira sejauh 21.1 kilometer di Putrajaya pada tahun yang sama.

Naib Canselor USIM merangkap Komandan PALAPES USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Kolonel (Kehormat), berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen dan ketekunan Muhammad Hazim Syahmi sepanjang menjalani latihan sebagai pegawai kadet.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama Muhammad Hazim Syahmi sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES USIM, malah turut mengharumkan nama universiti. Pencapaian beliau membuktikan bahawa mahasiswa USIM mampu menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi turut memiliki disiplin, kepimpinan dan ketahanan diri yang dibentuk melalui latihan ketenteraan serta penglibatan aktif dalam kehidupan kampus”.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh Pegawai Kadet untuk terus berusaha, mengekalkan disiplin dan semangat kepimpinan serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan kesetiaan kepada negara apabila mereka berkhidmat kelak,” katanya.

Istiadat yang disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis itu turut menyaksikan 50 Pegawai Kadet PALAPES USIM ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (Lt. Muda) dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kontinjen USIM terdiri daripada 29 pegawai kadet lelaki dan 21 wanita, manakala istiadat berkenaan secara keseluruhannya meraikan pentauliahan 1,884 Pegawai Kadet daripada 20 Universiti Awam di seluruh negara.

Pentauliahan tersebut menandakan pengiktirafan rasmi terhadap latihan dan kesiapsiagaan pegawai kadet yang dilengkapkan sepanjang tempoh pengajian di universiti.

Penglibatan dalam PALAPES turut menyediakan ruang kepada mahasiswa mengembangkan kemahiran kepimpinan, disiplin, ketahanan diri dan kerja berpasukan di samping tuntutan akademik.

Pencapaian Muhammad Hazim Syahmi memperlihatkan keupayaan mahasiswa mengimbangi kecemerlangan akademik dengan penglibatan dalam latihan ketenteraan dan aktiviti kemahasiswaan, selari dengan usaha universiti membangunkan bakat kepimpinan berasaskan kompetensi.