SEPANG – The 12th Islamic Banking, Accounting and Finance International Conference 2026 (iBAF2026) memperkukuh hubungan antara akademia dan industri dalam membincangkan hala tuju kewangan Islam, di samping membuka ruang pembangunan bakat, penyelidikan dan kerjasama strategik.

iBAF 2026 yang bertemakan “Future-Ready Islamic Accounting, Banking and Finance: Integrating Artificial Intelligence, Sustainability and Governance” menghimpunkan kira-kira 400 peserta dari beberapa negara seperti Morroco, Turkiye, Nigeria dan Arab Saudi dengan sebanyak 131 kertas kerja dibentangkan melibatkan beberapa institusi, antaranya Universitas Budi Luhur, UIMSYA Indonesia, UIN Cirebon, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), UNITAR International University dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Majlis dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar Pro Canselor USIM.

Selain itu, sebanyak 52 slot pembentangan pelajar pascasiswazah ditawarkan menerusi sokongan Dana Zakat Maybank Islamic, manakala Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM turut menyokong penyertaan pelajar dalam persidangan berkenaan.

Sokongan tersebut memberi peluang kepada pelajar memperoleh pendedahan bersama ahli akademik dan pengamal industri, selain membina jaringan yang dapat menyokong perkembangan akademik serta profesional mereka.

Antara manfaat yang diketengahkan ialah peluang kepada pelajar pascasiswazah untuk membentangkan hasil penyelidikan melalui sokongan dana wakalah zakat kepada golongan asnaf fisabilillah yang layak.

Pengarah iBAF2026, Dr. Nazratul Aina Mohamad Anwar berkata, kejayaan persidangan tidak hanya diukur melalui pengisian sepanjang program, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana jaringan yang terbina dapat diteruskan dalam bentuk penyelidikan, pembangunan pelajar, kerjasama industri, alumni dan jaringan antarabangsa.

“Jika hubungan ini terus berkembang melalui penyelidikan, pembangunan pelajar, kerjasama industri, alumni dan jaringan antarabangsa, itulah kejayaan sebenar iBAF2026,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Maybank Islamic Berhad, Dr. Akhtarzaite Abdul Aziz menerusi ucaptama bertajuk Future-Ready Islamic Finance: Innovation with Purpose menegaskan bahawa inovasi kewangan Islam perlu mempunyai tujuan yang jelas, memberi manfaat kepada manusia dan kekal berteraskan nilai Syariah.

Penganjuran persidangan antarabangsa anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut memperlihatkan bagaimana kerjasama antara universiti, industri dan institusi zakat dapat diterjemahkan kepada peluang pembangunan bakat dalam bidang kewangan Islam.

Penganjuran iBAF2026 turut menyaksikan perkembangan beberapa kerjasama strategik termasuk simbolik kerjasama USIM dengan Kazan Federal University (KFU), Rusia, pelancaran USIMPay melalui inisiatif Payment Service Agent (PSA) Bank Islam Malaysia Berhad serta penubuhan USIM Islamic Finance Alumni Chapter.