KUALA LUMPUR – Kumpulan koir staf Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), USIMIAN RHAPSODY, berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan kumpulan terbaik daripada 18 kumpulan yang menyertai Pertandingan Koir sempena pembukaan Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 24 September 2026 baru-baru ini.
Menerusi persembahan lagu Rodat dan Tinting, kumpulan itu turut membawa pulang hadiah saguhati. Pencapaian tersebut memperlihatkan bakat seni warga kerja USIM yang terus berkembang di luar bidang tugas harian.
Pembimbing kumpulan, Cikgu Azizzul Haqim, yang juga pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta penyanyi lagu tradisional, memuji kesungguhan ahli kumpulan sepanjang persiapan pertandingan.
“Bukan gelaran profesional yang menentukan kehebatan, tetapi kesungguhan untuk belajar dan menerima kritikan. Setiap bait nyanyian adalah bukti proses pembelajaran yang bermakna. Saya sangat menghargai kesungguhan kumpulan USIMIAN RHAPSODY,” katanya.
Penyertaan dalam pertandingan peringkat kebangsaan itu menuntut ahli kumpulan mengimbangi latihan dengan tanggungjawab rasmi. Mereka perlu memberikan perhatian kepada ketepatan nada, sebutan dan ritma, selain membina keserasian suara serta disiplin kerja berpasukan.
Pengalaman tampil di hadapan khalayak turut memberi ruang kepada warga kerja USIM untuk meningkatkan keyakinan diri dan mengasah kemahiran persembahan. Penglibatan dalam kegiatan kebudayaan seperti ini membuka peluang kepada staf untuk mengembangkan potensi diri dan mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja.
Oleh: Marfizah Md. Zain

