Dr. Amani Nawi
Dr. Amani NawiPensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Setiap kali musim jerebu melanda negara, kita akan berdepan senario yang sama. Hari ini anak ke sekolah seperti biasa. Malamnya ibu bapa menerima notifikasi daripada pihak sekolah bahawa sekolah ditutup keesokan harinya. Selepas beberapa hari, sekolah dibuka semula sebelum ditutup sekali lagi apabila bacaan kualiti udara merosot.

Tiada siapa mempertikaikan keperluan melindungi kesihatan murid. Kanak-kanak sememangnya lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara terutama bagi yang berisiko tinggi seperti pesakit athma. Atas sebab itu, apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap yang membimbangkan, tindakan menutup sekolah adalah langkah yang wajar.

Namun persoalan yang patut dibincangkan bukanlah sama ada sekolah perlu ditutup atau tidak. Hal ini adalah kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebenarnya mempunyai garis panduan yang jelas berhubung pengurusan sekolah ketika jerebu melalui Surat Siaran KPM Bilangan 1/2019 dan beberapa arahan berkaitan yang masih dirujuk sehingga hari ini. KPM telah menetapkan bahawa semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah di kawasan terjejas boleh ditutup apabila bacaan IPU melebihi 200 berdasarkan tindakan dan nasihat pihak berkaitan.

Dari sudut menjaga kesihatan awam, dasar ini jelas dan tidak dipertikaikan.

Masalah bukan pada keputusan menutup sekolah. Tetapi, pada cara keputusan itu dibuat.

Apabila sesuatu keputusan tidak dapat diramal atau dibuat mengejut, masyarakat terpaksa menanggung kos tambahan. Dalam bidang pengurusan risiko, terdapat konsep yang dipanggil “uncertainty cost” atau kos akibat ketidakpastian. Ibu bapa perlu memohon cuti kecemasan, mencari penjaga anak pada saat akhir, menangguhkan urusan kerja dan tidak kurang juga ada yang terpaksa menanggung tekanan emosi dan logistik.

Dalam erti kata lain, penutupan sekolah mungkin melindungi kesihatan fizikal murid, tetapi pengumuman saat akhir yang tidak bersifat kecemasan, tanpa pelan mitigasi yang jelas boleh mencetuskan tekanan sosial yang besar kepada sesebuah keluarga.

Bacaan Angka IPU Bukan Penentu Tunggal

IPU ialah petunjuk yang membantu masyarakat memahami tahap pencemaran udara dan kemungkinan kesannya terhadap kesihatan. Di Malaysia, pengiraannya mengambil kira beberapa faktor seperti bahan pencemar, dengan subindeks tertinggi digunakan untuk menentukan nilai IPU bagi tempoh pengiraan berkenaan.

Walau bagaimanapun, angka yang mudah difahami tidak semestinya menggambarkan keseluruhan keadaan dalam membuat keputusan berkaitan sekolah. Bayangkan sebuah sekolah yang bacaan IPU di kawasan sekitarnya menghampiri paras penutupan. Pada hari pertama, sekolah beroperasi seperti biasa tetapi aktiviti luar dihentikan. Pada hari berikutnya, sekolah ditutup apabila bacaan meningkat. Kemudian, bacaan menurun dan sekolah dibuka semula, sebelum keadaan kembali merosot dan proses itu berulang.

Dalam pengurusan krisis, masyarakat biasanya lebih mudah menerima keputusan yang boleh diramal berbanding keputusan yang tidak menentu.

Ibu bapa mungkin boleh menerima jika sekolah ditutup selama tiga hari berdasarkan ramalan keadaan udara yang buruk. Tetapi menjadi sukar untuk mereka menyesuaikan diri dengan keadaan apabila keputusan berubah hampir setiap hari.

“Hari ini buka”

“Malam nanti tengok pada bacaan IPU”

“Esok mungkin tutup sekiranya bacaan IPU tinggi”

“Lusa mungkin buka semula.

Dalam keadaan seperti ini, keputusan yang dibuat berdasarkan satu ambang angka tanpa mengambil kira arah aliran pencemaran, tempoh pendedahan dan keadaan setempat boleh menyebabkan ketidakpastian kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

Dan Ketidaktentuan berterusan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan terhadap proses membuat keputusan.

Ini bukan bermakna ambang IPU tidak lagi relevan. Sebaliknya, ambang tersebut perlu menjadi sebahagian daripada kerangka keputusan yang lebih lengkap. Trend bacaan, ramalan keadaan udara, lokasi sekolah, alternatif pengajaran & pembelajaran dan realiti kehidupan keluarga di Malaysia wajar dipertimbangkan.

Dalam teori pengurusan bencana, ancaman yang berulang memerlukan perancangan awal, bukan sekadar tindak balas segera. Hal ini adalah kerana jerebu yang berlaku hari ini bukan kejadian luar jangka. Hakikatnya, Malaysia hampir setiap tahun berhadapan risiko jerebu, terutama ketika musim kering dan arah angin tertentu atau akibat kebakaran di negara jiran.

Jika kita sudah mengetahui jerebu mungkin berlaku, mengapa mekanisme penutupan sekolah masih kelihatan bersifat ad hoc? Dan persoalan yang lebih penting adakah mekanisme penutupan sekolah yang diamalkan hari ini mengambil kira kebajikan ibu bapa, jurang digital dan kesesuaian PdPR kepada semua pelajar? 

PdPR Bukan Jawapan Untuk Semua

Kebiasaannya, apabila sekolah tidak dapat beroperasi secara bersemuka, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi antara pilihan untuk meneruskan pembelajaran. Dari segi konsep, langkah ini kelihatan munasabah. Sekolah ditutup, murid belajar dari rumah dan guru meneruskan pengajaran melalui platform digital atau bahan pembelajaran alternatif.

Namun, realitinya tidak semudah itu. Adakah PdPR benar-benar sesuai untuk semua murid?

Kajian dalam bidang pendidikan menunjukkan bahawa, keberkesanan pembelajaran jarak jauh bergantung pada pelbagai faktor, termasuk reka bentuk pengajaran, interaksi guru dan murid, sokongan keluarga, kemahiran kendiri serta akses kepada sumber pembelajaran. Oleh itu, memindahkan pengajaran dari bilik darjah ke skrin tidak secara automatik menjamin hasil pembelajaran yang setara.

Namun, Jika kita tidak melaksanakan PdPR, Apa Alternatifnya? Inilah persoalan yang sepatutnya menjadi fokus perbincangan dasar.

Selain daripada bergantung semata-mata kepada PdPR, beberapa pendekatan lain boleh dipertimbangkan seperti:

Pertama, KPM boleh menggunakan ramalan pencemaran udara untuk tempoh 48 hingga 72 jam bagi menentukan penutupan yang lebih stabil. Jika keadaan dijangka buruk selama beberapa hari, lebih baik sekolah ditutup untuk tempoh tertentu secara terus berbanding membuat keputusan yang bersifat harian atau ad hoc.

Kedua, tidak mewajibkan penutupan sekolah secara seragam. Sebaliknya turut melihat kepada lokasi dan keadaan fizikal sekolah. Sekolah di kawasan yang kurang terjejas mungkin mempunyai pilihan operasi yang berbeza daripada sekolah yang berada di kawasan pencemaran tinggi. Sekolah yang mempunyai kemudahan bangunan tertutup, sistem penapisan udara, keadaan pengudaraan dan keupayaan mengawal kemasukan udara tercemar juga perlu dipertimbangkan untuk beroperasi. Pendekatan mengikut lokasi ini lebih munasabah daripada menganggap semua sekolah mempunyai tahap pendedahan dan kemudahan yang sama.

Ketiga, pembelajaran secara asynchronous boleh diperluaskan. Daripada memaksa murid mengikuti kelas secara langsung sepanjang hari, guru boleh menyediakan modul atau latihan secara bercetak dan rakaman video yang boleh diakses mengikut kesesuaian masa. Ada ketikanya bahan pembelajaran bercetak lebih praktikal khususnya bagi keluarga yang mempunyai capaian digital yang terhad.

Keempat, KPM boleh mengenal pasti lebih awal keluarga yang berdepan kekangan peranti atau komputer sekiranya PdPR perlu dilaksanakan. Program pinjaman peranti oleh sekolah boleh diperluaskan bagi memastikan murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana tidak tercicir, sekali gus membantu mengurangkan jurang digital dalam akses kepada pendidikan.

Kelima, KPM boleh bekerjasama dengan pusat komuniti, perpustakaan awam atau kemudahan kerajaan yang mempunyai sistem penapisan udara yang sesuai untuk dimanfaatkan sebagai ruang pembelajaran sementara bagi murid yang memerlukan. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kesinambungan pembelajaran, malah dapat membantu ibu bapa yang berdepan kesukaran mendapatkan penjagaan anak ketika sekolah ditutup.

Keenam, kerajaan boleh mengkaji mekanisme pelepasan khas kepada ibu bapa apabila sekolah ditutup akibat bencana alam seperti jerebu atau banjir. Ini dapat mengurangkan tekanan kepada keluarga yang tidak mempunyai pilihan penjagaan anak. Pendekatan ini juga menunjukkan bahawa pengurusan jerebu bukan tanggungjawab KPM semata-mata. Ia memerlukan kerjasama pelbagai sektor termasuk kesihatan, kebajikan, pekerjaan dan masyarakat.

Pendek kata, negara memerlukan pelan tindakan yang lebih jelas  dan terperinci selain daripada jawapan mudah bahawa “PdPR akan dilaksanakan”.

Kesimpulannya, kesihatan murid mesti terus menjadi keutamaan. Tiada siapa mahu anak-anak belajar dalam persekitaran yang boleh memudaratkan kesihatan mereka. Namun, apabila sekolah sekejap dibuka dan sekejap ditutup, yang menjadi mangsa bukan sahaja jadual persekolahan, malah seluruh ekosistem keluarga. Ketidakpastian ini memberi kesan kepada urusan penjagaan anak, produktiviti pekerjaan dan kesinambungan pembelajaran murid.

Justeru, sudah tiba masanya KPM menilai semula mekanisme penutupan sekolah akibat jerebu agar lebih responsif, tersusun dan mengambil kira realiti semasa. Dasar yang baik bukan sahaja melindungi kesihatan murid, tetapi juga menyediakan sistem yang lebih boleh diramal, mengurangkan beban ibu bapa serta memastikan tiada murid tercicir akibat kekangan sosioekonomi dan jurang digital.