Terletak teguh di pangkuan wilayah Sulawesi Selatan, Kota Makassar bukan sekadar memukau pandangan menerusi keindahan senja di Pantai Losari ataupun kelazatan kulinari tradisi Coto Makassar dan Pallubasa, namun kota yang masih utuh dengan budaya Bugis-Makassar ini secara diam-diam mula dikenali sebagai hab intelektual, kesihatan, dan pendidikan tinggi yang semakin berdenyut rancak di ufuk timur Indonesia. Potensi besar yang dimiliki watan serantau ini telah membuka kepada ruang wacana dalam menterjemahkan makna sebuah gagasan pendidikan transnasional yang berupaya mengangkat darjat serta peradaban masyarakat Nusantara.
Dalam mendepani cabaran kontemporari, peranan institusi pendidikan tinggi di Makassar amat signifikan sebagai jambatan kesalinghubungan strategik antara Malaysia dan Indonesia. Menyedari hakikat tersebut, institusi pengajian tinggi di Malaysia wajar mengorak langkah proaktif untuk mengarusperdanakan pendidikan transnasional menerusi inisiatif pemindahan ilmu rentas sempadan. Misi mampan ini bukan semata-mata bersifat komersial, sebaliknya merupakan suatu islah dalam tatakelola pendidikan yang berhasrat membawa payung integrasi ilmu Naqli dan Aqli demi menyantuni kemaslahatan masyarakat madani.
Keakraban yang terjalin erat antara institusi pengajian tinggi Malaysia dengan rakan institusi di Makassar bukan sekadar retorik, bahkan dizahirkan menerusi pelbagai rencana pendidikan yang mencorakkan wacana intelektual, budaya, dan sastera serantau. Jika selama ini pasaran pendidikan tinggi Malaysia lazimnya berpusat di Pulau Jawa seperti Jakarta, Yogyakarta, dan Surabaya, ataupun di Sumatera seperti Medan dan Pekanbaru, kini kehadiran serentak Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke Makassar membuktikan usaha proaktif menerobos pasaran baharu di Indonesia Timur.
EMGS telah menggerakkan siri jelajah promosi berskala besar menerusi kempen “Ayo Kuliah di Malaysia” di Pulau Sulawesi dengan menumpukan kepada dua kota utama, iaitu Makassar dan Manado. Langkah ini bertujuan memperluas capaian maklumat pendidikan tinggi Malaysia ke wilayah timur. Makassar berperanan sebagai hub rujukan pendidikan serta pusat pertumbuhan ekonomi serantau, manakala Manado pula di atas kertas sudah melonjak menjadi antara 15 kota teratas penghantar pelajar ke Malaysia dengan merekodkan lebih 500 pemohon serta kadar kelulusan mencecah 95 peratus.
Baru-baru ini penganjuran persidangan antarabangsa di Makassar seperti The 1st International Conference on Health, Science and Technology (ICoHST) 2026 turut memberi nafas baharu kepada warga akademik, penyelidik, pengamal industri, dan pembuat dasar. Inisiatif ini membuka ruang perkongsian dapatan penyelidikan terkini dalam bidang kesihatan awam, sains gunaan, teknologi digital, kecerdasan buatan, dan bioteknologi yang relevan dengan keperluan kedua-dua negara yang berkongsi persefahaman di peringkat serantau.
ICoHST menjadi platform yang wajar dimanfaatkan oleh konglomerat, politikus serta pembuat dasar berteraskan semangat kebersamaan. Hal ini bertepatan dengan bidalan Bugis ‘Sipatuo sipatokkong’ yang membawa erti saling menghidupkan dan mengangkat martabat sesama insan; iaitu menolong mereka yang hampir hanyut, menegakkan kembali mereka yang rebah, serta saling berpesan dalam kebaikan. Pemimpin institusi pengajian tinggi menegaskan perlunya integrasi antara sains, kesihatan, teknologi, etika, dan inovasi. Kemajuan kecerdasan buatan dalam diagnosis perubatan serta pengurusan kesihatan menuntut pendekatan rentas disiplin yang menyeimbangkan penemuan saintifik dengan tanggungjawab moral, sekali gus meruntuhkan pemikiran berkubu secara silo.
Senario semasa memperlihatkan kemerosotan sistem nilai akibat ledakan era digital menuntut pencarian semula esensi ketamadunan. Wacana di Makassar menekankan bahawa pembinaan identiti Nusantara perlu diikat melalui keluhuran bahasa, sastera, dan budaya. Bahasa Melayu sebagai cermin identiti Malaysia dan Bahasa Indonesia sebagai bahasa persatuan berkongsi akar sejarah yang panjang bagi merapatkan jurang sentimen serantau. Dunia digital sememangnya memacu kepantasan komunikasi, namun sering kali gagal memperdalam maknanya. Hakikatnya, krisis kemanusiaan semasa bukanlah krisis bahasa, melainkan krisis kegagalan manusia untuk membuat refleksi diri. Oleh itu, jalan ke hadapan bukanlah memperlahankan arus teknologi, sebaliknya memperdalam nilai kemanusiaan sejagat.
Keterangkuman pendidikan transnasional ini diperkukuh lagi menerusi peranan institusi pengajian tinggi awam berteraskan integrasi Naqli dan Aqli yang menyantuni warga pendidik di Makassar melalui peluang melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah, merangkumi sarjana dan doktor falsafah. Inisiatif ini merangka ramuan mampan ke arah pembinaan keupayaan bersama-sama (co-capacity building) bagi merapatkan jurang sumber manusia dan memperkasa kecekapan pendidik mendepani cabaran baharu melalui pemindahan kepakaran dua hala yang tulen.
Secara tuntas, penulis menekankan naratif pendidikan transnasional pengajian tinggi Malaysia memerlukan reformasi dan anjakan paradigma yang menyeluruh. Pendidikan merentas sempadan tidak wajar dinilai dari kaca mata komersial semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui sumbangannya dalam memperkasa karamah insaniah dan memanusiakan keilmuan. Tatakelola akademik yang berlandaskan etika dan kelestarian sosial menjadi benteng kebobrokan ilmu. Sinergi utuh bersama institusi di Makassar membuktikan bahawa garis sempadan bukanlah halangan untuk menyatukan denyut nadi kemajuan tamadun pendidikan di Asia Tenggara.
