PUTRAJAYA – Filem pendek RaSaka yang mewakili Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih naib juara kategori Filem Pendek pada pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), sekali gus memperbaiki pencapaian tempat ketiga yang diraih menerusi TempaYan pada edisi terdahulu.
Pertandingan yang berlangsung dari 17 hingga 19 November 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC) itu menyaksikan RaSaka mengukuhkan pencapaian USIM dalam kategori berkenaan menerusi karya yang mengetengahkan elemen warisan, kekeluargaan dan budaya Negeri Sembilan.
Karya arahan Muhammad Faiz Azmi itu diterbitkan oleh Scync Production di bawah Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) USIM, dengan penglibatan pelajar Kolej Permata Insan buat kali kedua selepas TempaYan pada DICE 3.0.
Penasihat Produksi, Muhammad Amirul Afif Misran, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu peningkatan membanggakan bagi pasukan yang tidak mempunyai latar belakang khusus dalam bidang perfileman.
“Alhamdulillah, USIM berjaya membuktikan peningkatan yang luar biasa walaupun pelajar yang terlibat bukan daripada latar belakang perfileman.”
Beliau berharap pencapaian tersebut menjadi pemangkin kepada usaha USIM untuk memburu kejuaraan pada edisi akan datang, selain memperluas jaringan dengan pemain industri bagi membantu pembangunan bakat dan kemahiran pelajar dalam bidang kreatif.
Sementara itu, pengarah RaSaka, Muhammad Faiz Azmi, berkata perjalanan menghasilkan karya tersebut sejak Mac lalu penuh dengan cabaran yang menguji ketahanan pasukan, termasuk berdepan penipuan ketika menyiapkan cenderamata reruai serta kerosakan kenderaan semasa proses penggambaran.
“Terima kasih kepada semua pegawai, kru dan rakan strategik yang menjayakan RaSaka. Semoga kemenangan ini menjadi batu loncatan untuk Kelab Media dan Komunikasi Strategik terus terbang tinggi.”
RaSaka mengisahkan tiga beradik yang pulang ke kampung untuk menjual sebuah rumah pusaka, namun kemunculan hidangan misteri dan bunyi loceng buluh membawa mereka kembali kepada kenangan bersama arwah ibu, sekali gus mengetengahkan nilai warisan, makanan tradisi dan ikatan kekeluargaan.
Sebelum bertanding di DICE 4.0, RaSaka terlebih dahulu diperkenalkan kepada umum menerusi tayangan perdana pada 14 November 2026 di Dewan Serbaguna Kolej Permata Insan USIM yang menghimpunkan lebih 200 penonton.
Penghasilan filem tersebut turut mendapat sokongan rakan kolaborasi produksi iaitu Al Jamal Restaurant, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPN9), Hirex Group Sdn. Bhd., Tegas Broadcast & Multimedia Sdn. Bhd., Big Lemon Group Sdn. Bhd. dan Pookal Industry Sdn. Bhd.
Pencapaian RaSaka meneruskan momentum StraComm Clique dalam DICE selepas TempaYan meraih tempat ketiga kategori Filem Pendek, Gold Medal Award dan People’s Choice Award pada edisi terdahulu.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini



