BRUNEI DARUSSALAM – Kepakaran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam pembangunan Quran Isyarat diperluas ke peringkat serantau menerusi pelaksanaan Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat (KPQI) Tahap 1 di Negara Brunei Darussalam, sebagai usaha memperluas akses pendidikan al-Quran kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran.

Kursus yang berlangsung dari 27 hingga 29 Oktober 2026 di Dewan An Naura, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam itu dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), USIM dengan kerjasama Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Pelaksanaan KPQI Tahap 1 bertujuan membangunkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi peserta dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran menggunakan pendekatan Quran Isyarat, sekali gus menyediakan tenaga pengajar yang mampu menyampaikan pendidikan al-Quran secara lebih sistematik, berkesan dan bersesuaian dengan keperluan komuniti OKU Pendengaran.

Sepanjang tiga hari kursus, peserta mengikuti modul merangkumi taklimat mesra OKU, teori asas kemahiran al-Quran, Rasm Quran, inovasi Quran Isyarat, Al Rasm Al Ishari serta latihan Tilawah Quran Isyarat, selain menjalani latihan praktikal dan penilaian kompetensi dalam penggunaan Kod Tangan Quran (KTQ).

Latihan intensif tersebut dikendalikan oleh pasukan tenaga pakar UMMI yang diketuai Prof. Madya Dr. Noornajihan Ja’afar dan Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad, bersama staf serta Felo Budi UMMI yang terlatih dan berpengalaman.

Menurut Pengarah UMMI, Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd. Raus, pembangunan Quran Isyarat merupakan antara agenda strategik USIM bagi memastikan komuniti OKU Pendengaran mempunyai hak yang sama untuk mempelajari, memahami dan menghayati al-Quran melalui pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“USIM melalui UMMI bukan sekadar membangunkan kaedah membaca Quran menggunakan Isyarat Kod Tangan Quran (KTQ), malah membina keseluruhan ekosistem yang merangkumi penyelidikan, pembangunan modul, latihan kompetensi, inovasi dan pemindahan ilmu kepada pelbagai agensi di seluruh negara. Usaha ini memperkukuh kedudukan USIM sebagai peneraju dan pusat Dakwah OKU.”

Menurut beliau, pendekatan pemindahan ilmu seperti ini membolehkan hasil penyelidikan dan kepakaran universiti diterjemahkan kepada latihan yang memberi impak secara langsung kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi USIM mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli bagi membentuk masyarakat yang inklusif, berdaya saing dan berteraskan nilai ihsan.

Kerjasama USIM dengan pihak berkuasa agama Brunei Darussalam turut mencerminkan usaha memperkukuh jaringan kepakaran serantau serta memperluas perkongsian ilmu dan inovasi pendidikan al-Quran untuk komuniti berkeperluan khas.

Inisiatif tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peluasan kerjasama strategik antara Malaysia dan Brunei Darussalam dalam pembangunan pendidikan Islam inklusif, khususnya dalam memastikan akses kepada al-Quran dapat diperluas kepada semua golongan tanpa batasan.

Pelaksanaan KPQI Tahap 1 di Brunei Darussalam sekali gus memperlihatkan bagaimana kepakaran yang dibangunkan melalui penyelidikan dan inovasi di universiti dapat diperluas merentasi sempadan untuk memperkukuh ekosistem dakwah yang lebih inklusif serta memastikan komuniti OKU Pendengaran turut mempunyai ruang yang lebih luas untuk mempelajari dan menghayati al-Quran.

 

 

Oleh: Siti Rahmah Ahmad Razuan