NILAI – Seramai 21 pelajar sarjana muda Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Bengkel Qiyadi Sekretariat Mahasiswa OKU (SMOKU) 2026 anjuran SMOKU dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM di IshaRI Lounge, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) pada 24 Oktober lalu.
Penganjuran bengkel yang dirasmikan oleh Pengarah UMMI, Profesor Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus ini bertujuan memperkasa kapasiti kepimpinan mahasiswa OKU dalam mentadbir urus organisasi secara lebih sistematik dan berkesan. Selain itu, program ini turut memupuk semangat kerjasama, kemahiran komunikasi berkesan serta keyakinan diri berteraskan nilai kepimpinan Islam (qiyadi) bagi menyokong peranan mereka sebagai pemimpin yang aktif menyumbang kepada komuniti universiti.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan pengisian tadbir urus organisasi dan pengurusan sekretariat pelajar yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar UMMI, Puan Khairunnisa Ismail. Pengisian diteruskan dengan tiga modul utama yang menumpukan aspek pembangunan diri dan kepimpinan, iaitu Modul 1 bertajuk “Komunikasi dan Qiyadah Islamik: Bicara Dengan Nilai, Memimpin Dengan Makna” oleh advokat dan Pengarah OK-YOUth 2025, Qurratu Aisha Mohd Noranizam.
Seterusnya, Modul 2 bertajuk “Qiyadah dan Jati Diri: Kenal Diri, Urus Emosi” dikendalikan oleh mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti Malaya (PERMIUM) sesi 2023/2024, Nur Hidayah Johari yang menekankan aspek pengenalan diri serta pengurusan emosi. Manakala Modul 3 bertajuk “Komunikasi Berkesan: Pengurusan Konflik dan Organisasi” disampaikan oleh Timbalan Presiden Majlis Belia OKU Malaysia, Muhammad Aliff Ghazali.
Bagi memastikan hala tuju organisasi kekal mampan, Presiden SMOKU USIM, Syed Muhammad Danish Syed Mohammad Ekhzubir turut mengendalikan sesi khas Pelan Tindakan SMOKU 2026/2027 bagi memberi ruang kepada peserta meneliti serta merancang gerak kerja sekretariat bagi sesi berkenaan.
Penganjuran program ini turut mendapat sokongan komuniti dan rakan perniagaan melalui sumbangan daripada tiga penaja, iaitu Nornas Kafe dan Ketering yang menaja 105 hidangan makanan dan minuman sepanjang program, BungaComey yang menyumbangkan 35 kit sejadah kembara (travel), serta Zarareez Studio menerusi sumbangan 35 lencana (badge).
Melalui penganjuran Bengkel Qiyadi SMOKU 2026, pihak penganjur berharap ilmu serta pengalaman yang diperoleh dapat diterjemahkan secara praktikal dalam pengurusan sekretariat, sekali gus menyuburkan budaya kepimpinan yang beramanah, komunikasi berhemah dan penglibatan mahasiswa OKU yang lebih bermakna dalam ekosistem kampus USIM.
Oleh: Nur Izzatty Nabihah Mohamad Sapri