BANGI – Pasukan Koperasi Siswa Universiti Sains Islam Malaysia (KOSISWA USIM) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Generasi Inovasi Koperasi (GiK) 2026 Peringkat Kebangsaan menerusi pembangunan aplikasi penghantaran makanan kampus, KOSISWA Bites, yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) dari 30 Oktober hingga 1 November 2026 baru-baru ini.
Kemenangan tersebut diraih selepas pasukan USIM berjaya menewaskan saingan sengit 48 buah pasukan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara. Dalam saingan pusingan akhir pada hari Ahad itu, KOSISWA USIM berjaya mengetepikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang meraih tempat kedua, manakala Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menduduki tempat ketiga.
Penyertaan USIM pada pertandingan berprestij itu dibarisi oleh dua pasukan di bawah bimbingan mentor, Dr. Hamadallah Mohammad Salleh. Pasukan pertama yang mempertaruhkan projek KOSISWA Bites dianggotai oleh Muhammad Adam Aiman Mohd Kamal Azrin dan Humam Amir, manakala pasukan kedua menerusi projek KOSISWA Sites diwakili oleh Muhammad Fakhrul Syamin Mad Fuad dan Najihah Amani Mohd Helmi.
Aplikasi KOSISWA Bites dibangunkan sebagai sebuah solusi logistik digital khusus bagi warga kampus dalam usaha memperkasakan perkhidmatan penghantaran makanan serta merancakkan ekosistem keusahawanan siswa di bawah naungan koperasi universiti.
Wakil peserta pasukan KOSISWA Bites, Muhammad Adam Aiman Mohd Kamal Azrin berkata, pembangunan aplikasi tersebut tercetus daripada keperluan untuk memperkukuh jaringan sesama anggota koperasi di samping menangani kekangan harian yang dihadapi pelajar di kampus.
“Objektif utama KOSISWA Bites adalah untuk menguatkan kerjasama sesama anggota KOSISWA, membuka peluang pekerjaan, serta memupuk minat mahasiswa dalam bidang perniagaan. Pada masa sama, aplikasi ini dibina bagi mengatasi masalah pembelian makanan seperti kesuntukan masa, kesesakan di gerai, serta caj aplikasi pesanan makanan luar yang terlalu mahal,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai cabaran sepanjang pertandingan yang menyaksikan saringan awal 10 finalis terbaik sebelum ke pusingan penentu, Muhammad Adam Aiman menjelaskan bahawa aspek penyampaian idea di hadapan panel juri merupakan fasa paling mencabar bagi menonjolkan keunikan projek mereka.
“Cabaran yang paling ketara ialah proses untuk memastikan pembentangan solusi kami benar-benar menarik dan mampu tampil berbeza daripada pasukan lain,” jelasnya.
Tambah beliau, pihak KOSISWA USIM meletakkan harapan tinggi agar inisiatif digital ini tidak terhenti di pentas pertandingan semata-mata, sebaliknya dapat dimanfaatkan secara menyeluruh sebagai penyelesaian jangka panjang buat seluruh komuniti universiti.
Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan lagi komitmen USIM dalam melahirkan mahasiswa berdaya saing yang mampu menerajui pemerkasaan teknologi digital serta keusahawanan sosial dalam gerakan koperasi negara.
Oleh: Muhammad Fakhrul Syamin Mad Fuad

