PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar kecemerlangan apabila tiga pasukan mahasiswanya berjaya membawa pulang dua pingat emas, satu pingat perak serta beberapa pengiktirafan lain menerusi kategori Reka Bentuk Industri, Filem Pendek dan Realiti Terimbuh/Realiti Maya (AR/VR) dalam pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0.

Pertandingan yang berlangsung sempena Putrajaya Festival of Ideas (Putrajaya FOI) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 17 hingga 19 November lalu menyaksikan ketiga-tiga kontinjen USIM mempamerkan daya saing tinggi dalam menterjemahkan idea kreatif berasaskan teknologi dan warisan budaya.

Dalam kategori Reka Bentuk Industri, pasukan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) meraih pingat emas menerusi produk ‘RONA 5 Lantern Heritage’ pada penyertaan sulung mereka dengan mengetengahkan lima motif reka bentuk berinspirasikan alam ciptaan Allah, termasuk bunga raya.

Produk yang dibangunkan di bawah bimbingan Dr. Madihah Mat Idris itu turut mendapat kerjasama strategik syarikat AB Art Trading dalam aspek penghasilan reka bentuk menggunakan teknologi AutoCAD dan LaserCAD, sekali gus mendedahkan mahasiswa kepada proses pembangunan produk serta ekosistem keusahawanan sebenar.

Sementara itu, produksi filem pendek ‘RaSaka’ di bawah kendalian Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) turut mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul pingat emas, gelaran naib juara kategori filem pendek serta Anugerah Pilihan Penonton, selain menerima geran SIGGRAPH Asia bernilai RM3,100.

Kemenangan tersebut menyaksikan produksi berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bagi kedudukan naib juara dan RM1,000 menerusi Anugerah Pilihan Penonton, menjadikan keseluruhan nilai hadiah serta geran yang diraih berjumlah RM7,100.

Penasihat Produksi ‘RaSaka’, Muhammad Amirul Afif Misran berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan mahasiswa USIM menghasilkan karya kreatif berdaya saing meskipun dijayakan oleh pelajar daripada pelbagai latar belakang pengajian tanpa pengkhususan langsung dalam bidang perfileman.

Melengkapkan kejayaan kontinjen universiti, pasukan AR/VR USIM meraih pingat perak menerusi inovasi ‘Busana Maya’, iaitu sebuah sistem realiti terimbuh interaktif yang membolehkan pengguna mencuba pakaian tradisional Melayu secara maya menggunakan komputer dan kamera.

Projek hasil kerjasama Penawar International Sdn. Bhd. itu dibangunkan oleh Muhammad Adam Danial Joyhanis, Muhammad Darwisy Yadiy Badrul Hisham, Nursyazwani Abu Bakar dan Kauthar Mohd Suhair di bawah bimbingan Puan Nurul Fathihin Mohd Noor Shah.

Inovasi berkenaan menampilkan model tiga dimensi (3D) pakaian Hang Tuah dan Baju Sikap yang dibangunkan berdasarkan pakaian warisan sebenar melalui rujukan bersama pakar pakaian warisan, selain dilengkapi penerangan sejarah dwibahasa serta kemudahan memuat turun gambar menerusi kod QR.

Mengulas kejayaan keseluruhan kontinjen USIM, Dr. Madihah berkata, pencapaian tersebut menjadi pemangkin semangat untuk terus memperkukuh penyertaan mahasiswa dalam pertandingan inovasi pada masa hadapan menerusi kolaborasi pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, kita berjaya mencapai kemenangan ini dan insya-Allah, ada rezeki untuk tahun depan kita tambah baik lagi,” katanya.

Pencapaian cemerlang ketiga-tiga pasukan ini sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa USIM dalam mengintegrasikan elemen kreativiti, teknologi digital dan keusahawanan bagi menghasilkan inovasi yang berpotensi diketengahkan kepada industri serta masyarakat.

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini, Emir El-Abqariy Kamarul Azmi