BEIJING – Dua mahasiswi Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Puteri Nur Hazwani Mohd Kopli,24, dan Nur Salsabila Mohd Azilah berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih dua anugerah berprestij dalam sebuah pertandingan inovasi antarabangsa yang berlangsung di Beijing, China, baru-baru ini.

Mewakili Malaysia serta rantau Asia Tenggara, kedua-dua graduan tahun akhir itu berjaya membawa pulang Silver Award (Tempat Kedua) berserta hadiah bernilai RMB 8,000 dan Most Popular Award selepas menewaskan saingan sengit peserta dari 25 buah negara.

Kejayaan membanggakan itu diraih menerusi projek inovasi yang dibangunkan hasil kerjasama bersama Pakar Perubatan dan Patologi Mulut, Dr. Faezah Rokhani serta Pakar Ortodontik, Dr. Iman Azmuddin.

Projek berkenaan memberi tumpuan khusus kepada usaha membantu pesakit yang mengalami kebimbangan melampau (dental anxiety) dan ketakutan untuk mendapatkan rawatan pergigian, sekali gus mewujudkan pengalaman klinikal yang lebih selesa serta mengurangkan keresahan pesakit.

Menurut Puteri Nur Hazwani, penghasilan inovasi tersebut didorong oleh keprihatinan mereka sebagai pengamal pergigian terhadap cabaran emosi yang sering dialami pesakit ketika berhadapan prosedur rawatan.

“Sebagai bakal doktor gigi, kami bukan sahaja ingin memberikan rawatan kepada pesakit, tetapi juga mahu memastikan mereka berasa selamat, selesa dan yakin sepanjang proses rawatan. Kami berharap inovasi ini dapat membantu mengubah persepsi pesakit terhadap rawatan pergigian,” katanya.

Mengulas lanjut cabaran sepanjang pertandingan, beliau berkongsi bahawa mereka hampir berputus asa apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 kumpulan terbaik pada hari kedua saingan.

Namun, sokongan padu penyelia mereka, Dr. Faezah Rokhani yang sanggup mengadakan sesi perbincangan secara dalam talian sehingga lewat malam dari Malaysia berjaya membangkitkan semula semangat juang pasukan sehingga layak ke peringkat akhir pada hari ketiga.

“Tanpa kepercayaan daripada kedua-dua pensyarah kami, tidak mungkin kami berada di tahap ini,” tambahnya.

Selain menyerlahkan keupayaan inovasi kesihatan, kedua-dua graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian sebagai doktor gigi dua hari sebelum perkongsian kejayaan ini dibuat turut menampilkan identiti budaya Malaysia apabila mengenakan pakaian tradisional Melayu pada hari terakhir pertandingan.

Pencapaian ini sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa USIM dalam mengintegrasikan ilmu pengetahuan, kreativiti dan nilai kemanusiaan bagi menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi impak langsung kepada masyarakat di persada antarabangsa.