NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh sinergi strategik bersama rakan industri dan komuniti menerusi penganjuran Majlis Apresiasi Rakan Industri dan Masyarakat USIM 2026 di Nilai Springs Resort Hotel, semalam pada 25 November 2026 bagi menghargai sumbangan kolaborasi berimpak tinggi serta meneroka peluang kerjasama baharu.

Majlis anjuran Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM itu turut menyaksikan pertukaran empat dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA), serta tiga simbolik kerjasama strategik termasuk inisiatif Industry on Campus (IOC) sepertimana saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kolaborasi merentas pelbagai sektor di peringkat nasional tersebut merangkumi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), projek perundingan, latihan profesional, pembangunan bakat, inovasi, pengkomersialan produk serta pemindahan ilmu kepada komuniti.

Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kerjasama universiti-industri-masyarakat merupakan teras penting dalam memperkasa peranan universiti sebagai pemangkin penyelesaian kepada cabaran sebenar industri dan komuniti, selari dengan aspirasi New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030).

Menurut beliau, berdasarkan 21 sektor keutamaan di bawah NIMP 2030, USIM memiliki potensi besar untuk menyumbang melalui kekuatan penyelidikan dalam sektor strategik khususnya industri halal, peralatan perubatan, digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), elektrik dan elektronik serta farmaseutikal.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa menjelaskan bahawa pengukuhan jaringan tersebut sejajar dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menuntut institusi pendidikan tinggi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta melaksanakan libatsama komuniti secara inklusif.

Pada majlis sama, USIM turut menyampaikan beberapa Anugerah Khas Rakan Industri bagi kategori Projek Perundingan, Geran Penyelidikan, Sumbangan dan Endowmen, Projek Penjanaan, Sumbangan Alumni serta Anugerah Khas Rakan Komuniti berdasarkan rekod pencapaian sepanjang tahun 2025.

Penghargaan turut diberikan kepada 16 tokoh industri dan ketua organisasi yang menjayakan CEO@Faculty Programme USIM bagi tempoh 2024–2026, antaranya Lembaga Tabung Haji, Yayasan RI, Yayasan Restu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Kementerian Dalam Negeri, Bank Islam Malaysia Berhad dan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM).

Turut menerima penghargaan ialah CyberSecurity Malaysia, Aurelius Hospital Nilai, IMU University, Skop Productions Sdn. Bhd., Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Pergigian Islam Malaysia (IDAM) serta Hajeedar & Associates Sdn. Bhd.

Sementara itu, Pengarah PLiMJI, Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi menegaskan bahawa keberhasilan sesebuah kerjasama tidak hanya diukur pada jumlah dokumen yang dimeterai, sebaliknya bergantung kepada impak nyata terhadap ekosistem universiti, industri dan masyarakat.

“Keutamaan USIM bukan sekadar menjalin kerjasama atau memeterai dokumen persefahaman, tetapi memastikan setiap kolaborasi yang diwujudkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan program, projek dan inisiatif yang memberikan hasil serta impak yang boleh diukur.

“Kami mahu memastikan kepakaran akademik, hasil penyelidikan dan inovasi universiti dapat dimanfaatkan oleh industri, manakala pendedahan kepada persekitaran industri pula membolehkan graduan USIM memiliki kompetensi dan kemahiran yang benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja semasa,” katanya.

Beliau menambah, dalam aspek pemerkasaan masyarakat, USIM terus komited menyalurkan kepakaran universiti secara langsung menerusi program pemindahan ilmu dan kesukarelawanan bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti secara mampan.